PENGENALAN INOVASI

Peta Farmasi Komuniti se-Malaysia merupakan sebuah inovasi perkhidmatan yang bertujuan khas untuk menyenangkan proses pemeriksaan premis farmasi komuniti dan permohonan racun lesen racun A agar perkhidmatan yang  ditawarkan oleh Cawangan Penguatkuasa Farmasi dapat dipertingkatkan lagi yang dibangunkan dengan aplikasi Google Maps.

SEBELUM DAN SELEPAS INOVASI DIHASILKAN

Farmasi komuniti terletak di pelbagai tempat di setiap negeri. Kadang-kadang lokasi premis tidak dapat ditentukan oleh sebab pegawai kurang arif dengan kawasan yang baru ataupun tiada koordinat di Google Maps yang sedia ada. Ketua Seksyen (KS) Pemeriksaan atau Ketua Cawangan Penguatkuasa Farmasi (KCPF) juga tidak mempunyai gambaran visual yang jelas tentang premis yang sudah atau belum diperiksa dengan serta-merta. Jikalau pegawai tidak pernah ke kawasan tersebut, kemungkinan pembaziran masa akan berlaku untuk  mencari  premis. Untuk mendapatkan perkembangan yang terkini berkaitan dengan premis yang telah diperiksa, KS/KCPF boleh merujuk kepada senarai dalam Sistem My.Pharma-C. Namum demikian, senarai tersebut tidak dapat menunjukkan alamat premis yang diperiksa.

Selepas inovasi, pegawai boleh menentukan lokasi premis dengan tepat.  Rancangan pemeriksaan ke atas premis farmasi sepanjang tahun akan lebih menyeluruh dan lancar. Dengan inovasi ini, ia akan mengurangkan kebarangkalian berulang-ulik ke kawasan yang sama untuk membuat pemeriksaan. KS/KCPF juga boleh memantau dengan lebih efektif.

FAEDAH PELAKSANAAN INOVASI

Selepas pegawai menjalankan pemeriksaan, mereka boleh menukar warna pin pada pet untuk premis yang telah diperiksa. Peta ini boleh dipantau oleh KS ataupun KCPF pada setiap masa dengan senang tanpa rujukan kepada data bulanan ataupun sistem My.Pharma-C. Pemeriksaan berulang ke kawasan yang sama tidak akan berlaku dan ini menjimatkan masa pegawai. Orang awam juga dapat mengenalpasti premis farmasi komuniti yang berdekatan dengan rumah dan tempat kerja untuk mendapatkan bekalan ubat dan perkhidmatan kesihatan.

Penggubal dasar dan polisi dapat melihat dengan jelas distribusi premis farmasi komuniti di seluruh Malaysia. Kajian yang selanjutnya boleh dijalankan mengenai keperluan ahli farmasi komuniti yang sebenar berbanding dengan populasi yang sedia ada, ataupun kajian terhadap tempat-tempat yang sudah bersedia untuk melaksanakan pengasingan pendispensan.

KRITERIA PENILAIAN

Projek ini dijangka dapat diguna pakai oleh semua pegawai farmasi, doktor dan ahli kesihatan yang lain dan juga termasuk orang awam. Proses replikasi adalah mudah dan memandangkan peta ini meliputi seluruh Malaysia, semua CPF negeri boleh menggunakannya. Projek ini juga akan dikembangkan untuk meliputi pemegang lesen racun yang lain dan juga klinik-klinik serta hospital-hospital swasta di Malaysia.

KOS

Anggaran kos bagi menjayakan projek ini telah mengambil lebih kurang 2 bulan tenaga manusia. Aplikasi Google Maps adalah percuma diguna.

KESIMPULAN

Inovasi Peta Komuniti Farmasi se-Malaysia mampu meningkatkan kecekapan pegawai penguatkuasa farmasi untuk menjalankan tugas, terutamanya dalam pemeriksaan premis komuniti farmasi. Inovasi ini juga membantu meringankan beban pihak atas untuk untuk memantau perkembangan status pemeriksaan dan permohonan lesen. Akhirnya, inovasi ini juga akan memudahkan orang awam mencari farmasi komuniti untuk mendapat bekal ubat-ubatan serta perkhidmatan kesihatan Secara langsungnya, ini akan mengeratkan hubungan sektor awam kesihatan dan sektor swasta kesihatan.