Pendahuluan

Meds2Home adalah projek inovasi, kategori perkhidmatan. Perkhidmatan baharu ini telah dimulakan pada 1 Jun 2018 di Rumah Seri Kenangan (RSK), Seri Iskandar, Perak. Semua pesakit didaftarkan sebagai klien sistem tambah nilai yang baharu, dikenali sebagai Meds2Home. Klien tidak perlu menunggu di kaunter farmasi untuk mengambil ubat, tetapi pegawai farmasi terlibat akan bertemu pesakit di RSK.

Masalah dan Keadaan Sebelum Inovasi

Sebelum inovasi Meds2Home, pendispensan dilakukan di kaunter farmasi pesakit luar kepada penjaga RSK sahaja. Ini menyebabkan pesakit tidak mengetahui jenis ubat yang diambil dan kaunseling tentang cara penggunaan alat perubatan seperti ubat sedut dan insulin pen tidak dapat diterangkan kepada pesakit. Selain itu, untuk mengurangkan masa menunggu, semua pesakit telah didaftar dalam sistem temujanji tetapi atas masalah pengangkutan, penjaga RSK tidak dapat mengambil ubat pada tarikh yang ditetapkan. Ini telah meningkatkan beban kerja kerana bungkusan ubat yang tidak dituntut perlu disusun balik.

Keadaan selepas Inovasi

Dengan inovasi Meds2Home, pegawai farmasi akan membuat lawatan ke RSK sekali sebulan untuk menjamin kelangsungan bekalan ubat pesakit dan pendispensan dapat dilakukan secara terus kepada pesakit dengan kehadiran penjaga. Konsep Patients Own Medications (POMs) juga dilaksanakan dalam projek inovasi ini untuk mengurangkan pembaziran ubat-ubatan. Masalah-masalah seperti lambakan ubat, kekurangan ubat, kehabisan ubat dan bungkusan ubat sistem temujanji yang tidak dituntut oleh pesakit tidak wujud lagi kerana lawatan berkala pegawai farmasi ke RSK yang membekalkan ubat yang cukup sehingga tarikh temujanji yang seterusnya.

Faedah-faedah Pelaksanaan Inovasi

i)    Peningkatan tahap kefahaman pesakit berkaitan ubat-ubatan mereka melalui DFIT score.
ii)    Penjimatan kos ubat-ubatan melalui aplikasi konsep POMs: - Jumlah penjimatan dari bulan Januari ke Mei adalah sebanyak RM490.59.
iii)    Meringankan beban kerja: - Peratusan bilangan bungkusan ubat tidak dituntut selepas tujuh (7) hari bekerja berkurang daripada 21.43% dan 20.63% pada bulan April dan Mei kepada 0% pada bulan Jun dan Julai 2018.
iv)    Jumlah masa menunggu pesakit RSK di Farmasi Pesakit Luar berkurang dengan mendadak sebelum dan selepas projek inovasi Meds2home dari 95 minit, 124 minit, dan 60minit pada bulan Mac, April dan Mei kepada 7 minit, 6 minit dan 15 minit pada bulan Jun, Julai dan Ogos.
v)    Kepuasan Pelanggan Meds2home:- Penilaian kepuasan pelanggan Meds2Home merangkumi 14 orang responden kakitangan Rumah Seri Kenangan yang terlibat secara langsung mengenai pengurusan ubat-ubatan pesakit.

Anggaran kos

Anggaran kos pengangkutan yang diperlukan ke RSK adalah sebanyak RM6 sebulan.