PENDAHULUAN

Seksyen Penggunaan Ubat Berkualiti merupakan salah satu unit di bawah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Kelantan yang bertanggungjawab dalam aktiviti pendidikan dan perlindungan pengguna ke arah penggunaan ubat secara berkualiti, selamat dan rasional.

PENERANGAN PROJEK

Sembang Online – Cakna Ubat Anda dimulakan pada Disember 2017 bagi merealisasikan satu projek inovasi yang mampu memanfaatkan media sosial yang menjadi medan pengguna internet seluruh dunia untuk mencari informasi. Projek inovasi kategori perkhidmatan ini menumpukan penyampaian maklumat kepada masyarakat. Objektif utama projek ini adalah untuk menerapkan ilmu-ilmu kepenggunaan kepada masyarakat supaya dapat menggunakan ubat secara berkualiti, selamat dan rasional sekaligus menangkis dakyah dan fitnah terutamanya isu-isu yang ditularkan di media sosial.

MASALAH SEBELUM INOVASI

Aktiviti-aktiviti biasa dijalankan seperti ceramah dan forum ini dikategorikan sebagai aktiviti formal dan lebih mensasarkan dewasa dan warga emas. Formaliti ini juga seringkali disalah anggap oleh sebilangan masyarakat menyebabkan sambutannya terhadap aktiviti ini kadangkala kurang memberangsangkan.

KEADAAN SEBELUM INOVASI

Walaupun aktiviti pendidikan pengguna meningkat setiap tahun, namun liputannya masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di negeri ini iaitu sekitar 0.64% (11,494 orang) sahaja setahun peserta yang terlibat dengan program seperti ceramah dan forum. Laman Facebook rasmi Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Kelantan juga sering dihujani pelbagai soalan berkaitan ubat-ubatan dan kosmetik dari pengguna media sosial dan pendtadbir sistem perlu menjawab satu persatu persoalan tersebut.

KEADAAN SELEPAS INOVASI

Melalui sepuluh episod Sembang Online – Cakna Ubat Anda Musim Pertama, statistik menunjukkan jumlah tontonan telah mencapai antara 1,900 – 32,000 tontonan setiap dan telah dikongsi di media sosial antara 66 – 847 kali bagi setiap episod. Soalan-soalan melalui Facebook rasmi BPF Kelantan juga dapat dijawab dengan lebih mudah semasa sesi FB Live.

FAEDAH-FAEDAH PELAKSANAAN INOVASI

  1. Penjimatan masa

Sembang Online - Cakna Ubat Anda bersifat global kerana mempunyai liputan seluruh dunia. Dengan menggunakan butang share yang disediakan Facebook, informasi ini akan dihantar ke beribu pengguna internet di seluruh dunia.

  1. Peningkatan tahap produktiviti

Penyebaran maklumat terkini menjadi lebih cepat dan murah. Malah lebih banyak maklumat dapat disebarkan dalam jangkamasa yang singkat. Satu sesi Sembang Online – Cakna Ubat Anda hanya mengambil masa 30 minit – 1 jam sahaja.

  1. Penjimatan Guna Tenaga Manusia

Minimum dua orang anggota diperlukan untuk projek ini dijalankan dan boleh dijalankan dari ruang kerja anggota sahaja.

ANGGARAN KOS

Sembang Online -  Cakna Ubat Anda hanya menggunakan aplikasi percuma FB live di laman media sosial Facebook dan diakses sama ada melalui sebuah telefon pintar atau sebuah komputer pejabat yang mempunyai kemudahan internet.