Pendahuluan

HMR-M bertujuan memastikan DBB (Dos Bawa Balik) menepati kriteria penyimpanan yang betul dan selamat, meningkatkan pemantauan klien defaulter dan rekod kehadiran yang tidak memuaskan, dan menilai semula klien yang memohon DBB atas alasan seperti keterbatasan fizikal agar tiada unsur penipuan dalam usaha meningkatkan mutu dan kualiti program Harm Reduction serta kawalan penyakit berjangkit seperti HIV, hepatitis dan tuberkulosis.

Penerangan Inovasi

Inovasi perkhidmatan HMR-M mempunyai operasi yang sistematik kerana berpandukan garis panduan HMR yang khusus untuk metadon. Selain itu, HMR-M dianggotai profesion daripada pelbagai bidang dan berkolaborasi dengan banyak pihak seperti AADK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Masalah Sebelum Inovasi

Pelbagai masalah yang timbul berkaitan dengan metadon antaranya ialah tiada garis panduan yang khusus untuk lawatan rumah klien metadon. Selain itu, tiada pantauan tempat penyimpanan DBB, tiada penilaian semula klien yang mempunyai keterbatasan fizikal, klien defaulter dan rekod kehadiran yang tidak memuaskan.

Keadaan Sebelum Inovasi

Sebelum inovasi dihasilkan, lawatan rumah klien metadon hanya melibatkan unit farmasi sahaja dan pelaksanaannya yang tidak  sistematik. Tempat penyimpanan DBB juga didapati tidak betul dan selamat. Hal ini meningkatkan risiko kesalahan pengubatan dan kecurian DBB. Selain itu, terdapat klien yang memalsukan kecederaan dan ini memungkinkan penyalahgunaan DBB. Manakala, ketidakhadiran klien lebih daripada 3 hari mengganggu pengoptimuman rawatan terapi metadon.

Keadaan Selepas Inovasi

Selepas inovasi dihasilkan, pasukan metadon dianggotai oleh staf kesihatan daripada pelbagai bidang serta pendokumentasian dan garis panduan yang piawai diwujudkan. HMR-M terbukti dapat meningkatkan keselamatan DBB di rumah (10% kepada 100%) selain mencegah penyalahgunaan, risiko salah laku (78% kepada 0%) dan risiko kecurian DBB (91% kepada 0%). Pemantauan klien defaulter dan rekod kehadiran DOT yang tidak memuaskan dapat dipertingkatkan.

Faedah Selepas Pelaksanaan Inovasi

HMR-M dapat memperluas saringan kesihatan bagi golongan “high risk” dalam keluarga dan aktiviti intervensi psiko-sosial dengan kerjasama pelbagai pihak seperti AADK dan JKM. Inovasi ini juga mempertingkatkan produktiviti pasukan metadon.

Anggaran Kos

Kos operasi hanyalah melibatkan sumber yang diperolehi daripada unit Farmasi, HIV/AIDS dan NCD.

Kesimpulan

HMR-M dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan farmasi metadon dari segi memberi kesedaran kepada klien tentang kepentingan penyimpanan sirap metadon yang betul dan dapat mencegah penyalahgunaan dan penyelewengan DBB.