PENDAHULUAN: “Easy Guide for Tourists” (EG4T) adalah cetusan idea kreatif oleh Pegawai Farmasi dan Pegawai Teknologi Makanan di Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) serta Ahli Farmasi di Songkhla Provincial Public Health Office (SPPHO) sebagai satu bahan penerangan kepada pelancong-pelancong luar negara yang merentasi pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand yang bertujuan memberi kesedaran mengenai pendaftaran ubat, kosmetik dan keselamatan makanan. PENJELASAN PENYERTAAN KATEGORI INOVASI: EG4T ini dipilih sebagai kategori inovasi perkhidmatan kerana membantu pegawai untuk memberikan perkhidmatan penerangan secara bersepadu kepada pelancong. MASALAH SEBELUM INOVASI: Pelancong terutamanya warganegara Thailand kebanyakannya tidak memahami Bahasa Malaysia dan juga tidak mengetahui kawalan undang-undang di Malaysia. KEADAAN SEBELUM INOVASI: Pegawai penguatkuasa di pintu masuk sering mengalami kesukaran berkomunikasi dengan pelancong dan proses penerangan memakan masa apabila melibatkan rampasan produk terlarang yang dibawa oleh mereka. PENERANGAN PROJEK INOVASI: EG4T dicetak dalam bentuk risalah bersaiz poket dengan 12 mukasurat yang mengandungi informasi ringkas dalam Bahasa Inggeris (BI) dan Bahasa Thailand (BT). EG4T telah disemak dan disahkan oleh KKM. Penterjemahan BT telah dibuat oleh pasukan SPPHO. Program edaran EG4T kepada pelancong-pelancong di setiap pintu masuk sekitar negeri Kedah telah dilaksanakan secara berperingkat sejak Ogos 2018 sehingga sekarang. Selain itu, EG4T turut diletak di setiap kaunter imigresen bagi akses mudah kepada pelancong. KEADAAN SELEPAS INOVASI: EG4T telah memudahkan komunikasi pegawai dengan pelancong dan menjimatkan masa penerangan kerana pelancong boleh membaca sendiri dan memahami informasi dalam bahasa yang mesra pengguna. FAEDAH-FAEDAH PELAKSANAAN INOVASI: Kos penganjuran program dapat dijimatkan melalui kolaborasi antara JKNK dan SPPHO. EG4T dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan pegawai kerana penerangan yang diberikan kepada pelancong adalah berdasarkan informasi yang piawai, lebih spesifik dan seterusnya menjimatkan usaha serta masa berkomunikasi. Selain itu, EG4T turut membolehkan pegawai dari agensi penguatkuasaan lain membantu dalam mencegah kemasukan produk-produk terlarang yang dibawa oleh pelancong. Kerjasama antarabangsa dengan pihak Thailand dapat dipertingkatkan. Berdasarkan hasil kajian kepuasan yang dijalankan ke atas 145 pelancong luar negara, didapati 92.4% pelancong adalah berpuas hati terhadap maklumat, bahasa dan saiz dalam EG4T serta 94.5% pelancong berpendapat EG4T adalah berguna kepada mereka. Penggunaan EG4T telah dikongsi dengan JKN Kelantan. Projek EG4T dengan pendekatan yang sama juga digunakan oleh SPPHO bagi menyebarkan informasi kawalan undang-undang mereka kepada pelancong Malaysia yang melawati Thailand. ANGGARAN KOS: Kos cetakan sekeping EG4T adalah 37 sen.