PENDAHULUAN:

Perkhidmatan Farmasi Susulan secara Temu Janji  ialah perkhidmatan pembekalan ubat susulan pesakit mengikut tarikh yang telah ditetapkan di Pusat Pengambilan Ubat Susulan Setempat (PPUSS). Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (BPFM) merupakan salah satu lokasi perkhidmatan ini dan telah dilaksanakan sejak 2015. Walaubagaimanapun, perkhidmatan ini kurang mendapat sambutan.

PENJELASAN PENYERTAAN KATEGORI INOVASI:

FaST2U merupakan inovasi kategori perkhidmatan Cawangan Amalan dan Perkembangan Farmasi, BPFM bertujuan untuk meningkatkan bilangan pesakit yang menggunakan perkhidmatan pengambilan ubat susulan secara temu janji.

 MASALAH SEBELUM PROJEK INOVASI:

Sambutan terhadap perkhidmatan pengambilan ubat di PPUSS BPFM tidak menggalakkan.

KEADAAN SEBELUM INOVASI:

Bilangan pesakit yang berdaftar sedikit iaitu sebanyak 66 orang dan purata pendispensan ubat hanya 10-12 preskripsi sebulan.

PENERANGAN PROJEK INOVASI:

Projek Inovasi ini merupakan inovasi yang mengaplikasikan strategi penjenamaan semula perkhidmatan sedia ada di mana proses diubahsuai bagi memudahkan pesakit mendaftar dan mengambil ubat.

Proses kerja pengambilan ubat di PPUSS (sebelum Inovasi) adalah pesakit perlu mendaftar di unit farmasi fasiliti menerima rawatan sebelum mengambil ubat di BPFM. Unit Farmasi akan menyediakan ubat-ubatan dan menghantar ke BPFM untuk bekalan susulan akan datang. Perkhidmatan ini hanya dibuka kepada warga kerja Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sahaja.

Proses kerja FaST2U (selepas Inovasi) membolehkan pesakit mendaftar di BPFM dua(2) minggu sebelum tarikh ubat susulan. FaST2U juga dibuka kepada warga kerja di Wisma Persekutuan termasuk ahli keluarga dan jiran mereka. Semua kategori ubat boleh diambil dan BPFM akan memesan ubat dari Klinik Kesihatan Ayer Keroh dan Hospital Melaka sahaja.

KEADAAN SELEPAS INOVASI:

Selepas inovasi, jumlah pesakit berdaftar telah meningkat sebanyak 85% (dari 66 kepada 122 pesakit) dan purata pendispensan sebulan  telah meningkat dari 12 kepada 44 preskripsi (peningkatan 266%).

FAEDAH-FAEDAH PELAKSANAAN INOVASI:

FaST2U berjaya meningkatkan kualiti perkhidmatan farmasi, kepuasan pelanggan. serta memudahkan anggota yang bekerja di Wisma Persekutuan untuk mengambil ubat susulan sendiri, ahli keluarga atau jiran serta meningkatkan produktiviti mereka. Menjimatkan masa anggota yang bertugas kerana tidak perlu pergi ke klinik kesihatan atau hospital untuk mengambil ubat susulan. Penyediaan ubat secara berpusat di HM dan KKAK dapat menjimatkan tenaga manusia dan kos perjalanan.

ANGGARAN KOS:

Kos yang terlibat ialah RM25 untuk percetakan ‘bunting’ dan risalah bagi mempromosikan perkhidmatan ini kepada warga kerja Wisma Persekutuan.