Pengenalan inovasi

Dalam Operasi PANGEA 2017, 6,584 laman web melibatkan penjualan produk farmaseutikal ditutup di seluruh dunia. Di Malaysia, 317 laman telah disekat, 129,022 produk farmaseutikal yang menyalahi undang-undang serta 22 peranti digital yang dijadikan medium pemasaran produk dirampas. Ezy Guide telah dihasilkan sebagai rujukan pegawai penguatkuasaan farmasi (PPF) dalam mengendalikan rampasan peranti digital di lokasi serbuan. Video ini menerangkan secara terperinci proses pengenalpastian, pengumpulan, pengendalian dan pemeliharaan peranti digital.

Masalah dan Keadaan Sebelum inovasi

Sepanjang 2016 dan 2017, ‘road tour’ telah diadakan dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi melatih PPF di seluruh Malaysia. Setelah 1 pusingan selesai, didapati PPF masih gagal mengendalikan rampasan peranti digital dengan sempurna. Tambahan pegawai baru menyebabkan wujud permintaan untuk latihan sesi kedua diadakan.

Keadaan Selepas Inovasi

Latihan pengendalian peranti digital diterjemahkan melalui penghasilan video Ezy Guide bagi mengurangkan kesalahan semasa mengendalikan peranti digital. Video ini memberi gambaran jelas secara praktikal prosedur pengendalian peranti digital. Ini meningkatkan keyakinan PPF dan kecekapan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) dalam mengendalikan kes sebegini.

Faedah pelaksanaan inovasi

i. Pengurangan kos operasi
Sebelum ini, kos keseluruhan berjumlah RM42,000 telah dibelanjakan bagi sesi latihan selama 3 hari tidak termasuk kos penginapan dan perjalanan penceramah dan peserta. Penghasilan dan edaran Ezy Guide hanya melibatkan kos sebanyak RM318.
ii. Penjimatan masa
Dua tahun diperlukan untuk melengkapkan 1 pusingan latihan selama 3 hari di setiap CPF negeri. Ezy Guide boleh dirujuk dan latihan dijalankan pada bila-bila masa dan dimana sahaja.
iii. Peningkatan tahap produktiviti
Ezy Guide dihasilkan berdasarkan pengalaman di lapangan dengan mengambil kira situasi serta permasaalahan sebenar semasa serbuan. Kini, pengendalian peranti digital semasa serbuan dilakukan dengan lebih efisien dan bukti yang diperolehi dapat dikemukakan di mahkamah.
iv. Peningkatan tahap kepuasan hati pelanggan
Kajian yang dijalankan mendapati 92.3% responden bersetuju Ezy Guide lebih praktikal dan mudah dirujuk.
v. Penjimatan tenaga manusia
Pegawai seksyen forensik siber dan CSM tidak perlu lagi ke semua CPF negeri untuk melatih PPF. Masa yang sebelum ini digunakan untuk bantuan operasi, boleh digunakan untuk tugas hakiki lain.
vi. Lain-lain faedah
Ezy Guide menjadi rujukan bagi PPF yang akan menduduki peperiksaan pensijilan First Responder dan pelantikan sebagai Cyber Responder Operator.

Kriteria penilaian

i. Impak tinggi
Inovasi ini selaras dengan pelan tindakan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi dengan mengambil kira penjualan atas talian dan penggunaan teknologi siber yang menjadi cabaran terkini penguatkuasaan farmasi.
ii. Kreativiti
Ezy Guide merupakan ciptaan asli seumpamanya yang pertama di Malaysia. Ezy Guide ini dihasilkan secara dalaman dengan kandungan terperinci dan menggunakan teknik yang kondusif untuk proses pembelajaran.
iii. Efisien
Video ini memberi gambaran jelas secara praktikal prosedur pengendalian peranti digital. Ini meningkatkan keyakinan PPF dan kecekapan CPF dalam mengendalikan kes sebegini. Penggunaan video memudahkan lagi pemahaman dan mencetus ingatan pegawai berbanding membaca prosedur bertulis.
iv. Replikasi
Ezy Guide telah diedarkan kepada semua CPF dan juga berpotensi diperluaskan kepada agensi penguatkuasaan lain yang terlibat mengawal jenayah siber memandangkan prosedur pengendalian ekshibit digital yang digunakan adalah hampir sama.
6. Kesimpulan
Ezy Guide dihasilkan selaras dengan hasrat menjamin keselamatan pengguna melalui pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan terhadap penjualan produk famaseutikal atas talian dengan betul, teratur dan selamat.