PENDAHULUAN: Pengambilan suntikan insulin pada masa yang betul dan diet yang seimbang adalah amat penting kepada pesakit-pesakit diabetes bagi memastikan rawatan berkesan. Antara Januari – September 2018, seramai 24 pesakit diabetes direkrut di dalam Diabetes Medication Therapy Adherence Clinic (DMTAC) Unit Farmasi Hospital Jasin di mana 33.3% (8 orang) merupakan pengguna regimen basal-bolus insulin, dan selebihnya menggunakan ubat oral atau insulin regimen lain. Daripada 8 orang tersebut, hanya 50% (4 orang) mencapai HbA1C kurang 1% selepas lawatan sesi keempat. PENJELASAN PENYERTAAN KATEGORI INOVASI: Satu produk baharu yang berbentuk roda dan mempunyai maklumat masa dan insulin yang perlu disuntik serta gambar contoh pinggan sihat. Produk ini dinamakan Insuwheel. MASALAH SEBELUM PROJEK INOVASI: Paras gula pesakit tidak terkawal dengan keputusan ujian HbA1C melebihi 7%. KEADAAN SEBELUM PROJEK INOVASI: Pesakit menyuntik bolus insulin pada masa melebihi 30 minit sebelum makan dan mengambil karbohidrat berlebihan di dalam diet harian. Terdapat juga pesakit yang tidak mempunyai masa pemakanan yang tetap. PENERANGAN PROJEK INOVASI: Insuwheel digunakan sebagai alat bantuan kaunseling dan diberikan kepada pesakit sebagai rujukan di rumah. Pesakit akan mengarahkan jarum kepada nombor di mana masa insulin akan diambil, jarum bersebelahan menunjukkan masa makanan perlu diambil sebelum suntikan dibuat. Jarum bertentangan pula menunjukkan masa pengambilan makanan seterusnya yang disyorkan. Gambar konsep ‘suku-suku separuh’ diletakkan untuk menggalakkan pesakit mengurangkan pengambilan karbohidrat di dalam diet mereka. KEADAAN SELEPAS INOVASI: Untuk pesakit yang menggunakan Insuwheel seperti yang disarankan, penurunan HBA1c diperolehi. Jadual yang disediakan boleh memudahkan pesakit untuk merujuk waktu suntikan serta waktu pemakanan. Gambar pinggan sihat juga dapat menerapkan konsep diet sihat dalam kawalan pengambilan karbohidrat. FAEDAH-FAEDAH PELAKSANAAN: Memudahkan penerangan kaunseling dan meningkatkan kefahaman pesakit untuk mengambil suntikan dengan betul. Penurunan HBA1c juga berhubung dengan pengurangan kejadian komplikasi kencing manis dan kos perubatan yang terlibat pada masa jangka panjang. ANGGARAN KOS: Kos untuk menghasilkan Insuwheel ialah RM 3.