Cara pengambilan ubat yang betul mengikut waktu sebelum, selepas atau bersama makanan adalah penting untuk memastikan pesakit menerima rawatan yang optimum, berkesan dan selamat. Penyediaan ubat oleh jururawat di dalam wad menjadi titik penting untuk memastikan pesakit mengambil ubat dengan cara yang betul. Projek DST merupakan satu inovasi produk yang digunakan semasa menyediakan ubat kepada pesakit oleh jururawat. Sebelum inovasi, unit farmasi menyediakan ubat dengan label warna putih dan seterusnya jururawat menyediakan ubat didalam bekas piring atau penyukat sirap kepada pesakit. Tahap pengetahuan jururawat dan pesakit yang rendah tentang cara pengambilan ubat mengikut waktu sebelum, selepas atau bersama makanan menyebabkan ubat diambil sekaligus pada masa yang sama. DST diperbuat daripada plat plastic (perspek) dan bekas krim ubat 15 gram sebagai tapak meletakkan bekas penyukat sirap. DST mempunyai kod warna label iaitu kuning (sebelum makan), putih (selepas makan) dan merah jambu (bersama makanan) yang memudahkan jururawat membezakan ubat mengikut waktu makan yang betul. Selepas inovasi, unit farmasi menyediakan ubat mengikut kod warna kepada jururawat, dan jururawat menyediakan ubat kepada pesakit mengikut kod warna label ubat dan DST. Oleh itu, Jururawat dan pesakit dapat mengenalpasti dan mengingati waktu pengambilan ubat yang betul. Penggunaan DST mengurangkan risiko interaksi antara ubat dengan makanan dengan memastikan 100% ubat disediakan berasingan mengikut kod warna. Penyediaan ubat mengikut waktu sebelum, selepas atau bersama makanan meningkatkan keberkesanan pengubatan, seterusnya mengurangkan tempoh pesakit tinggal di dalam wad sebanyak 50%. Ini secara tidak langsung menjimatkan kos operasi. Selain itu, penggunaan DST meningkatkan kepatuhan jururawat kepada masa penyediaan ubat yang ditetapkan yang seterusnya mengurangkan kelewatan penghantaran troli ke farmasi. Penjimatan masa ini meningkatkan produktiviti dengan membolehkan jururawat melaksanakan tugas-tugas kejururawatan yang lain dengan masa yang dijimatkan. Selain itu juga, melalui pertanyaan kepada pesakit, 100% pesakit bersetuju DST mampu meningkatkan tahap
kepatuhan mereka terhadap pengambilan ubat-ubatan. 1 unit DST beranggaran RM4.00 seunit dan mampu direplikasi oleh semua fasiliti kesihatan yang lain. Kesimpulannya, inovasi produk DST telah memberi impak besar kepada pesakit yang menerima rawatan dan menambah nilai perkhidmatan farmasi serta penyediaan ubat di dalam wad.