Pendahuluan

Anggota kesihatan menghadapi risiko jangkitan oleh penyakit bawaan darah seperti Hepatitis B (HBV, 6-30%), Hepatitis C (HCV, 3%) dan Human Immunodefiency Virus (HIV, 0.3%) akibat daripada tusukan jarum. Kejadian tusukan jarum ini haruslah dicegah daripada berlaku selaras dengan sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia.

Penerangan Projek

Produk perintis dijalankan di KK Gelang Patah (KKGP) bermula 1 Jun 2018. Insusafe merupakan satu produk yang khas untuk kegunaan anggota farmasi bagi menanggalkan jarum insulin daripada pen insulin pesakit dengan selamat demi mencegah tusukan jarum. Ia merupakan ciptaan asli dan diperbuat daripada forseps yang diubahsuai, getah atau kertas rafia serta potangan kotak atau polystyrene.

Masalah sebelum Projek Inovasi dan Keadaan Sebelum Inovasi

Oleh sebab tidak mempunyai alat yang sesuai dan khas untuk menyelenggara pen insulin, maka anggota farmasi terpaksa membuka jarum insulin pesakit dengan tangan. Disebabkan faktor-faktor gangguan luar, tekanan beban kerja dan keletihan, insiden tusukan jarum mungkin berlaku. Berdasarkan statistik daripada PKDJB, sekurang-kurangnya satu insiden tusukan jarum insulin akan berlaku setiap tahun.

Keadaan selepas Inovasi

Sejak produk ini digunakan di KKGP, tiada sebarang tusukan jarum insulin yang berlaku walaupun lebih banyak kaunseling dijalankan kerana pesakit kencing manis berdaftar di KKGP telah meningkat sebanyak 29% pada tahun 2018. Produk inovasi ini telah mendapat sokongan dan kelulusan daripada Pegawai Kesihatan Dearah untuk diseragamkan di semua fasiliti farmasi bawah PKDJB. Sejak Insusafe digunakan di PKDJB pada April 2019, tiada tusukan jarum insulin berlaku di kalangan staf farmasi sehingga Jun 2019. TPNK(F) Johor juga telah meluluskan peluasan penggunaan Insusafe kepada seluruh Johor pada 11 Jun 2019.

Faedah-faedah Pelaksanaan Inovasi

Insusafe dapat menjimatkan kos untuk ujian darah (HIV, HBV dan HCV) dan ubat pencegah jangkitan sebanyak RM 490 per insiden. Masa yang diperlukan untuk mengisi laporan tusukan jarum dan masa yang digunakan oleh mangsa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan juga dapat dijimatkan. Insusafe dapat menambahbaik keselamatan anggota farmasi semasa menjalankan kaunseling dan mengendalikan insulin pen. Insusafe juga dapat mencegah tekanan mental kerana risau dijangkiti penyakit bawaan darah. Yang paling mustahak, penyakit bawaan darah dapat dicegah. Kajian kepuasan pengguna yang melibatkan 69 anggota mencatat keputusan bahawa 89.9% (62) responden berpuas hati dengan produk ini. Kesimpulannya, Insusafe ini dapat mencegah tusukan jarum insulin.

Anggaran kos

Jumlah kos produk ini adalah RM1- RM1.50.