Pendahuluan dan Penerangan Projek

Label ABC merupakan inovasi produk yang pertama seumpamanya di Malaysia. Idea projek ini tercetus berikutan masalah pesakit yang kurang memahami masa pengambilan antibiotik yang betul, terutama bagi antibiotik yang mempunyai “multiple dosing”. Label yang sedia ada tidak memberikan info masa pengambilan yang spesifik. Label ABC dihasilkan berdasarkan pemerhatian dan keperluan pesakit untuk lebih mudah memahami penerangan yang cuba Pegawai Farmasi sampaikan. Dua ciri utama Label ABC adalah, memberikan masa pengambilan antibiotik yang spesifik untuk setiap dos dan interaktif, di mana pesakit akan menandakan jadual pengambilan antibiotik tersebut setiap kali mengambil dos antibiotik.

Masalah dan Keadaan Sebelum Projek

i)    35% pesakit memahami cara pengambilan antibiotik mengikut selang masa yang betul, dan terdapat 40% pesakit pernah tertinggal dos antibiotik.
ii)    60% dari responden mengambil antibiotik tidak mengikut pengambilan masa yang betul dan 45% tidak melengkapkan regimen antibiotik yang sepatutnya.
iii)    Kadar kesedaran perlunya melengkapkan antibiotik masih rendah, hanya 40% sahaja yang melengkapkan antibiotik.
iv)    Juga, 20% dari responden juga tidak mengetahui risiko tidak mengambil antibiotik dengan betul.

Keadaan selepas Inovasi

Keberkesanan dalam penggunaan label ABC mampu membuat pesakit lebih mudah memahami dan mengikut cara pengunaan antibiotik yang betul. Malah, masa yang diperlukan untuk Pegawai Farmasi menerangkan kepada pesakit tentang penggunaan antibiotik dapat dikurangkan sebanyak 46.7%, sekaligus meningkatkan produktiviti dan menurangkan masa menunggu pesakit. Penerangan dapat diringkaskan dan mudah difahami oleh pesakit. Secara keseluruhannya, kesemua pesakit atau penjaga memberi maklum balas yang baik selepas menggunakan Label ABC ini.

Faedah-faedah Pelaksanaan Inovasi

i)    Hanya 15% responden yang tertinggal dos antibiotik. Ini menunjukkan respon yang baik selepas inovasi ini dijalankan.
ii)    100% responden menyatakan mereka mengetahui dan patuh akan masa pengambilan antibiotik dengan betul.
iii)    95% responden telah berjaya melengkapkan regimen antibiotik
iv)    100% responden mengetahui risiko tidak menghabiskan regimen antibiotik.
v)    Peningkatan pengetahuan pesakit dari 35% ke 100% tentang pengambilan ubat mengikut selang masa yang betul.
vi)    Peratus pesakit yang tertinggal pengambilan antibiotik menurun dari 40% kepada 15% sahaja.

Anggaran kos

Kos percetakan adalah RM250 bagi 1000 keping label. Perancangan sedang dibuat untuk label ini dicetak melalui sistem PhIS, bagi meminimakan kos operasi.