Latar belakang : Perkhidmatan Farmasi Wad merupakan unit di bawah Jabatan Farmasi Hospital Sultanah Aminah yang berperanan dalam membantu bahagian klinikal dalam meningkatkan mutu penjagaan farmaseutikal selain memberi informasi berkaitan ubat. Susulan dari kempen projek inovasi yang dianjurkan oleh jabatan, kami berpendapat untuk menghasilkan templat pengiraan Iron Dextran Complex setelah mengambilkira masalah yang dihadapi anggota semasa menerima pertanyaan dan keperluan maklumat susulan dari injeksi berkenaan.

Masalah dan keadaan sebelum inovasi : Tiada pengiraan yang standard untuk digunapakai oleh pegawai. Terdapat pelbagai formula yang diperolehi semasa carian atas talian telah menyebabkan kekeliruan terutamanya bagi yang kurang berpengalaman. Pegawai farmasi kerap dipersoalkan atau diminta bantuan dalam pengiraan dos Cosmofer® oleh pakar/pegawai perubatan. Kekerapan pertanyaan dos Cosmofer® adalah semasa rondaan wad, melalui Pusat Maklumat Ubat atau semasa bertugas di atas panggilan. Rujukan sedia ada juga tidak spesifik kepada berat individu dan keperluan dos percubaan tidak dimaklumkan. Faktor-faktor ini boleh menyebabkan kemudaratan kepada pesakit sama ada atas sebab lewat dalam penerimaan rawatan, kesan terapeutik separa, dos terlalu tinggi atau kesan sampingan Cosmofer®.

Penerangan projek: Iron Man merupakan projek inovasi dengan menggunakan program Microsoft® Excel dengan memasukkan formula yang telah dikenalpasti bagi pengiraan dos Cosmofer® setelah mengambil kira semua isu yang dihadapi. Tumpuan utama templat ini adalah untuk menyediakan templat pengiraan yang standard selain lebih tepat dan efisien untuk digunapakai oleh anggota jabatan.

Keadaan dan faedah selepas pelaksanaan inovasi : Selepas pelaksanaan inovasi ini, masa respon kepada pertanyaan berkaitan Cosmofer® telah disingkatkan kepada kurang daripada 1 minit berbanding 12.67minit. Ia menjimatkan tenaga manusia dalam pencarian formula yang tepat dan meningkatkan keyakinan menjawab semasa soaljawab. Dengan itu, ia meningkatkan tahap kepuasan hati pelanggan dengan maklumat yang tepat dan lebih jelas. Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan lagi tahap produktiviti hasil dari penjimatan masa dan kualiti perkhidmatan.

Kesimpulan: Penggunaan Iron Man tanpa kos ini dapat meningkatkan keyakinan dan kualiti perkhidmatan pegawai farmasi. Ia telah memberi impak positif kepada pegawai farmasi baru dalam pemberian perkhidmatan. Justeru, ia dapat mendapat sokongan padu daripada ketua jabatan dan organisasi. Secara kesimpulan, Iron Man bukan sahaja memberi impak kepada pegawai farmasi tetapi memberi informasi perubatan yang tepat, efektif dan efisien kepada pakar/pegawai perubatan demi meningkatkan pemulihan pesakit.