Projek inovasi ‘Rail your medicine’ adalah inovasi proses kerja bagi penyimpanan ubat pesakit temujanji. Projek ini melibatkan pemasangan ‘rail’ langsir di dinding untuk menggantung bungkusan ubat temujanji pesakit yang menggunakan sistem Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi (VAS). VAS ialah perkhidmatan yang melibatkan aktiviti pendispensan ubat susulan bagi pesakit dengan preskripsi untuk jangka masa panjang (3 bulan ke atas) dan preskripsi yang mempunyai 5 item ke atas. Antara perkhidmatan VAS yang disediakan di Klinik Kesihatan Chemor ialah Sistem Kad Temujanji. Sebelum proses inovasi dilakukan, kekurangan ruang penyimpanan di klinik telah menghadkan jumlah pesakit yang menggunakan perkhidmatan sistem temujanji. Penyimpanan yang tidak sistematik telah melewatkan proses pendispensan ubat kepada pesakit. Selain itu, ubat pesakit diletakkan secara bercampur aduk telah menyebabkan kesilapan pengubatan. Kesilapan pengubatan yang berlaku boleh menyebabkan kesan yang serius kepada pesakit memandangkan pesakit temu janji adalah pesakit dengan masalah kesihatan kronik. Selepas perlaksanaan projek ini, proses penyimpanan ubat temujanji menjadi sistematik. Antara perubahan ketara yang dapat dilihat adalah masalah kesilapan pengubatan, tempoh pendispensan yang panjang, ubat pesakit sukar dicari dan kekurangan ruang telah dapat diatasi. Purata peratusan preskripsi temujanji yang didispens melebihi 10min pada Jan hingga Mac 2017 telah diturunkan dari 23.8% kepada 2.37% pada bulan Okt 2017 hingga Jun 2018. Manakala, purata peratusan kesilapan pengubatan iaitu ubat yang hilang atau tercampur juga menurun dari 14% kepada 1% selepas projek ini dijalankan. Rational penggunaan rail langsir dapat memuatkan lebih banyak bungkusan ubat dengan hanya menggunakan sedikit ruang dan memudahkan proses pengalihan dan penyusunan bungkusan ubat. Oleh itu, lebih banyak pesakit dapat direkrut dalam perkhidmatan ini. Tenaga kerja dapat dijimatkan apabila hanya seorang kakitangan diperlukan untuk mengambil bungkusan ubat dan mendispens ubat tersebut kepada pesakit. Anggaran kos untuk projek ini adalah sebanyak RM 108. Kos yang rendah membolehkan projek ini dapat direplikasi bukan sahaja di klinik kesihatan dan hospital malah di jabatan-jabatan kerajaan lain. Setakat ini, Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan dan Klinik Kesihatan Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak telah mereplikasi projek ini di fasiliti mereka. Kajian kepuasan pelanggan telah dijalankan pada September 2018 menunjukkan sebanyak 90% pesakit berpuas hati dengan sistem temu janji mereka selepas inovasi dijalankan. Secara kesimpulannya, projek inovasi ini telah memberi banyak manfaat dalam proses penyimpanan ubat temujanji dan berpotensi untuk diperluaskan lagi penggunaannya kerana dapat mengurangkan kes kesilapan pengubatan serta memudahkan  proses kerja penyimpanan ubat temujanji  terutamanya bagi fasiliti dengan ruangan terhad.