Pengenalan inovasi

RAD alert tagging ialah satu inovasi dalam kategori proses yang menggunapakai kepingan kertas yang dicetak dengan imej buah pinggang berserta tanda amaran bersaiz 5cm x 10cm dan dilaminasi. Satu transparent envelope 7cm x 12cm dilekatkan di muka hadapan carta pengubatan pesakit dan berfungsi sebagai sarung untuk RAD alert tagging disisipkan. Setiap carta pengubatan pesakit yang memerlukan ubah suai renal dos akan dilekatkan dengan RAD alert tagging.

Objektif

RAD alert tagging adalah untuk mengurangkan peratus pesakit yang mempunyai masalah fungsi buah pinggang tetapi tidak diberikan ubah suai dos yang sewajarnya di samping memudahkan pegawai perubatan dan pegawai farmasi untuk mengenal pasti pesakit yang mempunyai masalah fungsi buah pinggang.
Tumpuan inovasi ini ialah dalam menambahbaik pengurusan carta pengubatan pesakit dan proses saringan pesakit yang memerlukan ubah suai dos buah pinggang.

Sebelum dan Selepas Inovasi dihasilkan

    a)    Keadaan sebelum inovasi
Pesakit yang mempunyai masalah fungsi buah pinggang yang memerlukan ubah suai dos tidak ditanda menyebabkan tiada ubah suai dos dilakukan walaupun pengiraan fungsi buah pinggang ada dilakukan. Data dari Oktober sehingga Disember 2016 menunjukkan sebanyak 61 pesakit dengan masalah fungsi buah pinggang direkod di Wad Lelaki dari jumlah keseluruhan 394 pesakit, di mana 55.74% pesakit (34 kes) tidak diberi pengubahsuaian dos.
    b)    Keadaan selepas pelaksanaan inovasi
Pesakit yang memerlukan pengubahsuaian dos dapat dikenal pasti dengan lebih mudah. Data dari April sehingga Jun 2017 menunjukkan sebanyak 77 pesakit dengan fungsi masalah buah pinggang direkod di Wad Lelaki dari jumlah keseluruhan 401 pesakit, hanya 28.57% pesakit (22 kes) tidak diberi pengubahsuaian dos.
Faedah-faedah dari inovasi yang telah diperkenalkan
    RAD alert tagging memudahkan pegawai perubatan serta pegawai farmasi dalam mengenal pasti pesakit yang memerlukan ubah suai dos dan memastikan pesakit tersebut diberikan pengubahsuaian dos yang sewajarnya.

Kriteria penilaian

Inovasi ini lahir daripada idea pegawai farmasi sendiri. Dengan sedikit penambahbaikan proses kerja, impak dalam penurunan peratus pesakit yang tidak diubah suai dos untuk masalah fungsi buah pinggang mereka dapat dilihat. Dengan kos serendah RM50, pesakit tersebut dapat dikenal pasti dengan lebih mudah. Selain itu, ianya juga mudah untuk direplikasi ke wad-wad serta fasiliti yang lain.

Kesimpulan

Dengan kewujudan RAD alert tagging, setiap pesakit yang mempunyai masalah fungsi buah pinggang dapat dikenal pasti dengan mudah dan diubah suai dosnya. Selain itu, ia juga menjamin penyampaian perkhidmatan perubatan yang berkualiti secara berterusan.