Pengenalan inovasi

Antibiogram merupakan jadual yang memaparkan sensitiviti antibiotik terhadap sesuatu mikroorganisma. Penghasilan antibiogram membantu dalam pemilihan antibiotik empirikal yang rasional sebagai salah satu langkah dalam mengelakkan masalah kerintangan antibiotik.

Sebelum dan selepas inovasi dihasilkan

Sehingga kini, tiada antibiogram khusus di Hospital Melaka untuk dirujuk bagi pemilihan antibiotik empirikal. Secara umumnya, pemilihan antibiotik empirikal dalam rawatan harian pesakit adalah merujuk kepada bahan rujukan umum seperti National Antibiotic Guideline (NAG) atau Clinical Practice Guideline   daripada luar negara. Namun, bahan rujukan tersebut mungkin tidak bersesuaian untuk dipraktiskan di Hospital Melaka memandangkan pola sensitiviti mikroorganisma yang mungkin berbeza antara fasiliti. Antibiogram ini yang disediakan berdasarkan pola sensitiviti mikroorganisma di Hospital Melaka membantu dalam pemilihan antibiotik empirikal untuk rawatan harian pesakit.

Faedah pelaksanaan inovasi

Pengurangan kos operasi
Antibiogram Kit membenarkan pemilihan antibiotik empirikal dengan tepat. Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan pembaziran ubat antibiotik dan memendekkan jangka masa pesakit di hospital. Faktor-faktor ini dapat menjimatkan kos operasi Hospital Melaka.

Penjimatan masa
Tempoh masa untuk membuat pemilihan antibiotik empirikal dapat dipendekkan.

Peningkatan tahap produktiviti
Masa yang dapat dijimatkan boleh digunakan untuk melaksanakan tugasan lain yang berkaitan dengan perawatan pesakit serta aktiviti pengurusan atau penyeliaan.

Peningkatan tahap kepuasan hati pelanggan
Pegawai farmasi dan doktor amat berpuas hati kerana membolehkan mereka memberi maklum balas yang tepat mengikut pola sensitiviti mikroorganisma di Hospital Melaka dalam masa yang singkat.

Kriteria penilaian

Efisien
Pegawai farmasi dapat memberi cadangan yang tepat dan cepat terhadap pemilihan antibiotik empirikal dalam proses merawat pesakit.

Replikasi
Projek inovasi ini amat mudah dilaksanakan dan melibatkan kos yang rendah.

Kesimpulan

Antibiogram Kit merupakan inovasi Jabatan Farmasi Hospital Melaka yang berlandaskan konsep penjenamaan semula selaras dengan ‘National Blue Ocean Strategy’ (NBOS) yang berimpak tinggi kepada semua anggota kesihatan dengan kos yang minima.