Latar Belakang Projek

Pejabat Farmasi Bahagian (PFB) Sarikei merupakan stor utama dalam mengendalikan pengurusan pembekalan gas perubatan dalam silinder gas dari Syarikat Linde EOX kepada klinik kesihatan (KK) di bawah jagaan. Gas oksigen perubatan adalah penting untuk rawatan kecemasan kes perubatan dan permindahan pesakit. Masalah akan terjadi jika mendapati kandungan silinder gas yang diterima adalah tidak berkualiti semasa penggunaan terutamanya kepada KK di kawasan pendalaman.

Masalah Dan Keadaan Sebelum Projek Inovasi

Terdapat 8 kes aduan pada tahun 2017 dari pihak KK berkaitan penerimaan silinder gas yang kosong atau tidak penuh pengisian gas perubatan yang merumitkan rawatan kecemasan pesakit di klinik. Pembekalan gas perubatan di PFB Sarikei adalah secara tukar ganti pada hari pesanan. Setiap silinder gas yang diterima dari Linde EOX akan disertakan bersama shrink-wrap pada injap silinder sebagai indikator pengisian penuh telahpun dijalankan. Silinder gas yang diterima akan terus disimpan dalam bilik stor gas perubatan dan dikeluarkan mengikut pesanan dari KK.

Penerangan Projek Inovasi

Satu proses kerja telah ditambahkan dimana semua silinder gas yang dilengkapi dengan shrink-wrap akan diuji dengan gas regulator semasa dikeluarkan dari bilik stor bersama pemesan sebelum kelulusan pembekalan. Hanya silinder gas yang mencapai tekanan 150bar akan diluluskan untuk pembekalan.

Keadaan Dan Faedah Selepas Pelaksanaan Inovasi

Pengujian dengan gas regulator mengesahkan punca aduan kualiti adalah masalah dari Linde EOX dan tanda shrink-wrap tidak dapat mengesahkan ketepatan kandungan gas yang telah penuh diisi. Proses semakan telah mengesahkan sebanyak 26 kes silinder gas kurang berkualiti dalam tempoh tahun 2017 sehingga 2018. Proses baru yang diwujudkan memberi impak yang tinggi terutamanya kepada keselamatan dan keberkesanan rawatan pesakit di klinik kesihatan yang berjauhan dari hospital di bandar. Ia juga merupakan satu penilaian kepada prestasi pembekal dan pemantauan kos operasi organisasi. Tiada kes aduan dari pemesan menjimatkan tenaga kerja di organisasi dan proses menjadi lebih cepat dan cekap. Ini telah meningkatkan tahap produktiviti dan tahap kepuasan pelanggan. Proses ini mudah diaplikasi dan boleh dikembangkan ke semua fasiliti farmasi di negara.

Kesimpulan

Inovasi proses yang dilaksanakan telah memberi manfaat yang tinggi dan berkesan kepada pesakit kerana rawatan yang berkualiti dan selamat dapat disalurkan dengan sempurna.