Kes malaria di Sabah meningkat secara mendadak dengan hanya 717 pada tahun 2016 kepada 1660 sehingga 11 November pada tahun 2017. Ubat utama bagi rawatan malaria di Malaysia kini adalah dengan menggunakan IV Artesunate atau T. Artemether/ Lumefantrine (Riamet). Waktu administrasi kedua-dua ubat antimalaria ini adalah unik di mana dos kedua diberikan pada sela waktu yang lebih awal berbanding waktu administrasi dos-dos berikutnya bagi mengoptimumkan kadar pembunuhan parasit Malaria pada fasa awal rawatan. Disebabkan sela waktu yang unik ini, kesalahan waktu administrasi kedua-dua ubat antimalaria ini menjadi cabaran dalam rawatan malaria di Hospital Tawau. Sebagai bukti hanya 42% daripada responden dalam kalangan jururawat terlatih yang dapat mengenalpasti waktu administrasi yang betul. MalaRight Label adalah sekeping kertas yang berukuran 20cm x 15cm yang mempunyai panduan mengenai sela waktu administrasi dua jenis ubat antimalaria ini. Disebabkan oleh waktu administrasi yang unik, berlaku kekeliruan mengenai waktu administrasi terutamanya apabila ia tidak dinyatakan di dalam carta perubatan. Ini meningkatkan risiko berlakunya kesalahan waktu pemberian ubat. Dos pertama dan kedua dipreskrib oleh Pegawai Perubatan pada carta perubatan ’stat’ manakala dos ketiga dan selanjutnya dipreskrib di dalam carta perubatan ’regular’. Waktu administrasi dos pertama dan kedua ubat antimalaria ini biasanya akan dinyatakan oleh Pegawai Perubatan pada carta perubatan ’stat’. Namun kekeliruan berlaku jika waktu administrasi spesifik dos ketiga tidak ditulis oleh Pegawai Perubatan pada carta perubatan ’regular’. Hal ini menyebabkan dos ketiga diadministrasi berdasarkan waktu pemberian ubat standard contohnya 6AM dan 6PM bagi ubat yang diberi 2 kali sehari. Selepas pelaksanaan inovasi, MalaRight Label dikepilkan oleh Jururawat Terlatih pada carta perubatan apabila ubat antimalaria dimulakan. Waktu administrasi setiap dos dapat ditentukan oleh Jururawat Terlatih dengan mudah berdasarkan panduan pada label. Penggunaan MalaRight Label mengurangkan berlakunya kesalahan pengubatan secara langsung rawatan yang tepat dapat diberikan kepada pesakit. Dalam satu soal selidik yang melibatkan 38 responden dalam kalangan jururawat terlatih, 95% berpendapat bahawa implementasi MalaRight Label mengurangkan risiko berlakunya kesalahan pengubatan manakala 92% bersetuju bahawa mereka berasa lebih yakin dengan waktu pemberian ubat antimalaria dengan adanya MalaRight Label. 97% responden bersetuju bahawa MalaRight Label dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan. Walaupun ia merupakan proses tambahan, penjimatan kos dari segi kos rawatan mahupun kos hospital dapat dikurangkan sekiranya rawatan yang diberi adalah tepat. Format yang digunakan bagi MalaRight Label juga adalah mesra pengguna dan senang difahami bagi menyampaikan informasi dengan efisien. Kesimpulannya, MalaRight Label merupakan satu inovasi yang dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dan secara langsungnya memberi manfaat kepada kakitangan serta pesakit.