PENDAHULUAN: Projek EzVAS adalah inisiatif untuk memperkasakan perkhidmatan Servis Tambah Nilai (Value Added Services, VAS) di Jabatan Farmasi, Hospital Putrajaya (HPj) bertujuan menambah baik proses kerja dan meningkatkan mutu perkhidmatan sedia ada supaya lebih efisien dan mesra pelanggan. MASALAH SEBELUM INOVASI: Perekodan data pesakit yang tidak sistematik. Rekod fail Microsoft Excel berbeza digunakan untuk setiap VAS menyebabkan berlaku pembaziran masa dan tenaga kerja anggota Farmasi untuk merekod data pesakit. Tidak mesra pengguna. Ketiadaan atau kehilangan rekod temujanji pesakit berlaku menyebabkan proses pendispensan ubat terbantut dan seterusnya menimbulkan gambaran buruk terhadap perkhidmatan VAS yang ditawarkan. Akses pengguna yang terhad meyebabkan temujanji terlupa direkodkan selain kelewatan maklum balas kepada pesakit yang ingin membuat temujanji. Kerumitan dalam penyediaan statistik bulanan secara manual. PENERANGAN PROJEK INOVASI: EzVAS merupakan laman sesawang secara atas talian “online” yang menggabungkan dan menyelaraskan rekod pesakit yang melanggan perkhidmatan VAS di Jabatan Farmasi, HPj. VAS yang terlibat adalah Farmasi SMS Take N Go, Medibox dan Pandu Lalu Hpj@IKN. KEADAAN SELEPAS INOVASI: Rekod pesakit dapat diuruskan dengan lebih baik dan sistematik. Seterusnya menjimatkan masa selama 10 minit untuk tujuan perekodan temujanji pesakit. Tiada kehilangan rekod temujanji pesakit dilaporkan kerana mempunyai sistem back-up bersepadu. Maklumat status ubat dapat disampaikan secara cepat kepada pesakit dan kes terlupa rekod temujanji pesakit dapat dikurangkan sebanyak 80% sebulan kerana akses yang tidak terhad. FAEDAH–FAEDAH PELAKSANAAN INOVASI: Keseragaman dalam penyimpanan rekod pesakit bagi pelbagai jenis perkhidmatan tambah nilai dan seterusnya menjamin keselamatan maklumat pesakit kerana boleh diakses dengan nama pengguna yang didaftarkan sahaja. Maklumat pesakit dapat diakses dengan mudah dan pantas. Penggunaan ruang dalam cakera keras komputer dapat dijimatkan. Mengurangkan kerumitan dalam proses pendaftaran dan pendispensan bagi perkhidmatan tambah nilai. Statistik dapat dijana serta merta. Oleh itu, ianya mesra pengguna dan meningkatkan produktiviti anggota farmasi yang bertugas. Penghasilan EzVAS tidak memerlukan kos kerana ia hasil projek kolaborasi dengan Jabatan Teknologi Maklumat HPj. Sekiranya kepakaran luar diperlukan, hampir RM80,000 perlu dibelanjakan untuk membina aplikasi seumpama ini. KESIMPULAN: Inovasi ini dapat diaplikasikan oleh institusi KKM yang lain supaya lebih responsif, efektif dan memberi impak yang tinggi dalam penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.