PENGENALAN

Projek inovasi Scan & Track adalah satu aplikasi pengurusan stor. Ia melibatkan 2 modul iaitu modul penjanaan label maklumat item beserta barcode (Scan) dan modul receive tagging yang menjana label tagging penerimaan untuk membantu pengurusan penyimpanan dan pencarian item (Track). Projek inovasi ini disasarkan penggunaannya di Farmasi Logistik dan Sub Stor Unit Farmasi.

MASALAH DAN KEADAAN SEBELUM INOVASI

Aktiviti berkaitan inventori di dalam Pharmacy Information System (PHIS) seperti pemesanan (indent) tidak dapat dilakukan dengan pantas kerana kod item yang digunakan mengandungi bilangan digit yang banyak. Item-item juga sukar dikenalpasti kerana Kad Petak (KEW. PS-4) yang ditulis secara manual dan tidak seragam. Selain itu, proses penyimpanan item tidak mempunyai mekanisme yang sistematik yang menyebabkan item sering diletakkan pada lokasi yang salah dan akhirnya sukar dibuat pencarian.

PENERANGAN PROJEK

Dibangunkan menggunakan perisian MS Access. Ia dapat menjana label maklumat item beserta barcode dan label tagging penerimaan item. Anggaran kos permulaan projek adalah RM 2097.90.

KEADAAN SELEPAS INOVASI

Label maklumat item beserta barcode yang dijana oleh aplikasi ini dapat digunakan untuk menangani masalah tugasan yang tidak efisien untuk aktiviti berkaitan inventori di dalam PhIS. Contohnya, pemesanan item di dalam sistem PhIS menjadi cepat dengan hanya mengimbas barcode tanpa perlu menaip nama dan memilih item yang dikehendaki. Selain itu, ia mewujudkan label maklumat item yang seragam. Label tagging penerimaan pula dapat menyelesaikan masalah penyimpanan dan pencarian item yang tidak sistematik.

FAEDAH PELAKSANAAN INOVASI

Projek inovasi ini terbukti memudah dan menjimatkan masa untuk menyelesaikan tugasan harian yang akhirnya memberi impak kepada produktiviti kerja. Masa pemesanan (indent) dan masa pencarian maklumat transaksi item masing-masing dijimatkan sebanyak 36% dan 95%. Tempoh penyimpanan item dapat dikurangkan sebanyak 51% dan hasilnya penggunaan sumber manusia sedia ada dapat dioptimumkan. 100% item disimpan pada lokasi yang betul dan 95% item bagi pesanan bulanan dapat dibekalkan dalam tempoh 14 hari. (Jun 2019). Ini memastikan pembekalan ubat kepada pesakit tidak terjejas. Inovasi ini juga amat mesra pengguna dan penggunaan barcode menjadi nilai tambah serta pelengkap kepada sistem sedia ada yang digunapakai (iaitu PhIS).

KESIMPULAN

Aplikasi yang dibangunkan diharap dapat dikembangkan ke fasililiti lain demi meningkatkan produktiviti kerja selaras usaha memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan pembekalan ubat kepada pesakit dengan lebih berkesan.