PENDAHULUAN

Kawalan Ubat Atas Talian (KUAT) merupakan satu ‘browser extension’ dalam Google Chrome dan Mozilla Firefox untuk mendidik dan mengingatkan pengguna internet tentang bahaya pengunaan produk kesihatan yang melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan Penguatkuasa Farmasi, KKM.

MASALAH SEBELUM INOVASI

Dewasa ini, penjualan produk kesihatan secara atas talian semakin meningkat. Sebahagian produk tersebut didapati tidak mematuhi keperluan undang-undang yang diperuntukan oleh KKM. Tindakan penguatkuasaan ke atas penjual sukar diambil kerana identiti dan lokasi mereka sukar untuk dikenalpasti.

KEADAAN SEBELUM INOVASI

Iklan-iklan produk yang dijual di atas talian mudah diperolehi dan mempengaruhi orang ramai. Hal ini mengakibatkan peningkatan dalam permintaan terhadap produk-produk kesihatan yang melanggar undang-undang. Bahagian Penguatkuasaan Farmasi yang memantau penjualan produk kesihatan di internet tidak dapat mengambil tindakan segera untuk menyekat laman sesawang yang menjual produk terlarang kerana ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi.

PENERANGAN PROJEK INOVASI

Apabila pengguna melakukan carian dan menekan pautan laman sesawang yang disyaki mengandungi penjualan produk kesihatan yang terlarang, KUAT akan bertindak serta-merta memberi mesej peringatan dalam bentuk ‘pop-up window’. Satu pautan pada mesej peringatan akan membawa pengguna kepada laman sesawang mini KUAT untuk maklumat lanjut mengenai penggunaan produk kesihatan berdaftar.

KEADAAN SELEPAS INOVASI

Dengan penggunaan KUAT, pengguna akan lebih berwaspada dan berpengetahuan ketika membuat pembelian produk kesihatan atas talian agar tidak mudah terpedaya dengan tuntutan yang melampau. Penurunan permintaan produk kesihatan terlarang dijangka mampu menurunkan pembekalan. Sebelum laman sesawang yang menjual produk terlarang disekat oleh SKMM, KUAT dapat menjadi pelindung agar orang ramai tidak membuat sebarang pembelian.

FAEDAH-FAEDAH PELAKSANAAN INOVASI

Kos operasi KUAT adalah jauh lebih murah berbanding kos operasi kempen kesedaran secara konvensional dan melalui media elektronik. Pengguna dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu membuka laman sesawang yang lain secara berasingan bagi mengenalpasti status produk kesihatan. Penggunaan KUAT di CPF setiap negeri dapat memastikan tiada pengulangan saringan satu laman sesawang dan meningkatkan produktiviti. Sistem KUAT yang ringan dan tidak memerlukan program luar membuatkan ia mudah digunakan dan mesra pengguna. Pengguna akan dilengkapi dan terlatih dengan pengetahuan asas berkenaan ubat berdaftar dan kosmetik bernotifikasi yang melindung daripada bahaya penggunaan produk kesihatan yang terlarang.

ANGGARAN KOS

RM 1,000.00

KESIMPULAN

Projek inovasi ini memberi pendedahan berterusan yang membolehkan pengguna membuat penilaian yang betul tentang penggunaan produk kesihatan yang selamat, efektif dan berkualiti sekaligus dapat mengurangkan permintaan terhadap produk larangan KKM.