PENGENALAN INOVASI

D-SMART merupakan satu inovasi teknologi dalam format application (app) yang akan menunjukkan formula penyediaan drip tanpa pengiraan secara manual. App ini boleh dimuat turun ke dalam Android smart phone secara percuma dan boleh digunakan tanpa talian internet.

Pengguna hanya perlu memasukkan kepekatan Sodium Chloride (NaCl) atau/dan Dextrose (D), serta jumlah isipadu yang dikehendaki. Kemudian, senarai botol drip yang boleh digunakan, isipadu NaCl 20% dan D50% yang perlu ditambah akan ditunjukkan dengan serta-merta secara automatik.

SEBELUM DAN SELEPAS INOVASI DIHASILKAN

Sebelum inovasi ini, tiada panduan penyediaan drip yang boleh dirujuk. Pengiraan secara manual adalah rumit dan mengambil masa yang lama. Staf yang menerima pertanyaan mengenai penyediaan drip perlu membuat pengiraan manual. Tidak semua staf mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Setiap orang mempunyai cara pengiraan sendiri, oleh itu jawapan yang berbeza-beza akan diperolehi.

Selepas inovasi ini, pengguna boleh mendapatkan formula penyediaan drip dalam masa yang singkat tanpa pengiraan secara manual. Dengan menggunakan app ini, jawapan yang diperolehi adalah tepat dan selaras.

FAEDAH PELAKSANAAN INOVASI

  • menjimatkan masa
  • meminimumkan pembaziran dan mengurangkan kos
  • mudah difahami dan digunakan
  • meningkatkan tahap produktiviti
  • menjimatkan tenaga manusia

KRITERIA PENILAIAN

D-SMART merupakan satu ciptaan baru yang masih di dalam proses pendaftaran MyIPO. App ini menggunakan susun atur yang jelas serta kombinasi warna yang sesuai. Ini memudahkan pengguna untuk melihat dan mentafsirkan jawapan yang diperolehi.

Selepas inovasi ini diperkenalkan, purata masa yang digunakan untuk menyelesaikan pengiraan telah dikurangkan sebanyak 88-92%. Ini dapat meningkatkan tahap produktiviti kerana anggota farmasi mempunyai lebih banyak masa untuk menyelesaikan kerja-kerja lain. Terdapat 95% responden berpuas hati dengan D-SMART.

D-SMART berjaya mengurangkan jumlah perbelanjaan drip bulanan di wad NICU kerana pengguna boleh memilih gabungan drip yang paling sesuai daripada senarai drip yang dipaparkan. Jumlah penggunaan drip, NaCl 20% dan D50% dapat dijimatkan dan seterusnya mengurangkan kos perbelanjaan secara keseluruhan.

Penggunaan D-SMART boleh disebarkan ke fasiliti KKM yang lain dan boleh digunakan oleh semua pekerja dalam bidang kesihatan.

KESIMPULAN

Inovasi D-SMART telah memberikan banyak manfaat kepada pengguna. Formula penyediaan drip yang tepat boleh diperolehi dalam masa yang singkat tanpa pengiraan secara manual.