Sistem Pengurusan Pendaftaran Ahli Farmasi (PRiSMA) adalah satu sistem yang menyediakan perkhidmatan atas talian secara “end-to-end” kepada ahli farmasi di Malaysia yang membawa satu inovasi teknologi di bawah Program Perkhidmatan Farmasi. PRiSMA dibangunkan bagi mencapai objektif (i) pengeluaran sijil kepada ahli farmasi dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja dan (ii) menyediakan satu sistem atas talian yang mesra pengguna, prestasi sistem yang stabil dan penyampaian data terkini. Purata bebanan pengeluaran sijil setahun yang dianggarkan sekitar 20,600 diurus tadbir oleh 12 orang kakitangan dengan anggaran tempoh pengeluaran sijil sekitar 5 hingga 12 hari secara manual. Pembangunan PRiSMA yang dilaksanakan secara dalaman telah berjaya menjimatkan kos perolehan sebanyak RM870,326.60 dan kos operasi tahunan sebanyak RM20,000 serta tempoh pengeluaran sijil disingkatkan kepada 2 hingga 4 hari sahaja. Prosedur semakan borang permohonan dipermudahkan dengan integrasi semakan silang oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan MyCPD, KKM. Proses pembayaran juga dilaksanakan secara atas talian melalui integrasi FPX. PRiSMA telah diuji, dinilai, diverifikasi dan disahkan tahap keselamatan oleh pihak MiMOS Technology Sdn. Bhd. melalui aktiviti Security Posture Assessment (SPA). PRiSMA boleh diakses pada pelbagai jenis peranti, berlainan perisian operasi dan pelbagai jenis perisian “browser” tanpa memerlukan proses pemasangan hasil penggunaan teknologi web aplikasi. Output janaan sijil menerusi sistem ditanam dengan teknologi “Digital Signature” dalam usaha untuk mengatasi aktiviti pemalsuan dokumen dan “QR Code” untuk menyemak silang status dan maklumat pada dokumen sijil yang dicetak keluar. Kajian kepuasan pelanggan yang dilaksanakan selama satu tahun mendapati pengguna sistem memberikan penilaian skor setinggi 4 daripada 5 (skor lebih besar adalah lebih baik) dengan bilangan sampel sebanyak 6,659. Dapatan ini juga disokong dengan 86.3% pengguna bersetuju bahawa PRiSMA boleh digunakan tanpa memerlukan kemahiran tinggi atau sesi tutorial khas. Bahagian Kesihatan Sains Bersekutu, KKM telah secara rasmi membuat permohonan untuk mengambil dan mengadaptasi konsep sistem PRiSMA bagi urusan pengeluaran sijil tahunan kepada 23 profesion di bawah Sekretariat Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu pada Ogos 2018. Kesimpulannya, sistem ini telah meningkatkan hasil terimaan di Lembaga Farmasi Malaysia sebanyak 18.7% dengan nilaian RM123,047.28, mencapai 99.5% (18,364) pengeluaran sijil dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari bekerja dan merangsang kenaikan 26.8% (4,284) penghantaran borang permohonan pada tahun 2018.