1. Latar Belakang Projek dan Penglibatan Pihak Pengurusan

Proses pembekalan ubat yang efisien melalui Pills Go-Smart (PGS) diilhamkan ekoran daripada lambakan ubat yang dipulangkan oleh pesakit kronik di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman. Kumpulan Go-Smart telah mendapat kelulusan jabatan bagi mencipta PGS. PKD Kemaman memperuntukkan sebanyak RM3,800 bagi merealisasikan projek ini.

2. Signifikasi Pemilihan Projek dan Pembuktian

Nilai pemulangan ubat dari semua Klinik Kesihatan PKD Kemaman meningkat pada tahun 2016 iaitu RM19,618.92 berbanding RM13,390.35 pada 2015. Kebanyakan ubat yang dipulangkan adalah daripada pesakit kronik. Tajuk ini selari dengan misi KKM iaitu memastikan perkhidmatan farmasi yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, pengagihan ubat berterusan dan mengelakkan pembaziran serta bekalan ubat yang berkualiti, selamat dan berkesan.

3. Tindakan Penyelesaian dan Pembuktian

Strategi penyelesaian menggunakan teknik Design Thinking.
Kami menginovasikan PGS yang mempunyai ciri-ciri istimewa bagi memudahkan pesakit membawa dan menguruskan ubat di rumah. Seramai 110 orang pesakit telah menggunapakai PGS setakat ini. Carta alir pembekalan ubat dengan PGS turut diwujudkan. Kami juga menambah baik alat bantuan kaunseling bagi meningkatkan kefahaman dan kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat-ubatan.

4. Keberhasilan Projek : Outcome Projek dan Pembuktian

a) Penjimatan kos bekalan ubat penerima PGS sebanyak RM5,383.62 bagi tempoh 2 tahun projek.
b) Anggaran penjimatan kos bekalan ubat bagi tempoh 2 tahun di PKD Kemaman adalah RM498,764.48 (mengambil kira bilangan pesakit kronik PKD Kemaman seramai 10,192)
c) Penjimatan masa proses pelupusan ubat selama 1 jam/sesi.
d) Peningkatan produktiviti perkhidmatan farmasi iaitu kaunseling ubat-ubatan dan Medication Therapy Adherence Clinic hasil daripada penjimatan masa.
e) Peningkatan tahap kepuasan pelanggan. Semua penerima PGS berpuas hati kerana PGS memudahkan pesakit membawa dan menguruskan ubat di rumah.

5. Keberhasilan Projek : Impak Projek dan Pembuktian

a) Mengurangkan kos perolehan ubat bagi penerima PGS.
b) Mengelakkan kekeliruan pesakit seterusnya mengurangkan risiko kesilapan pengubatan
c) Meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan, seterusnya mengurangkan komplikasi & mortality
d) Pengurusan ubat dan dokumen pesakit lebih teratur
e) Mengurangkan tekanan kerja anggota farmasi
f) Menyokong kempen Go-Green

6. Potensi Pengembangan Projek

PGS telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan nombor pendaftaran 17-01240-0101.
Projek ini telah diseragamkan ke semua klinik kesihatan di Daerah Kemaman, Jabatan Farmasi Hospital Kemaman serta turut diperkembangkan ke seluruh fasiliti kesihatan negeri Terengganu. Projek ini juga telah direplikasi serta digunapakai oleh jemaah haji Daerah Kemaman pada musim haji tahun 2017, 2018 dan akan diteruskan pada tahun 2019.