1. Latar belakang projek dan Penglibatan Pihak Pengurusan

Transit Med-Kit diilhamkan dari program Patients’ Own Medications (POMs) yang merupakan inisiatif Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (PPF, KKM) untuk menggalakkan penggunaan ubat kepunyaan pesakit di wad. Projek ini telah mendapat kelulusan daripada pengarah hospital.

2. Signifikan Pemilihan Projek dan Pembuktian

Penggunaan ubat kepunyaan pesakit di wad Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) adalah rendah. Tambahan pula, bilangan jenis ubat yang dipulangkan oleh pesakit adalah tinggi. Terdapat kelemahan dalam prosedur penyimpanan ubat kepunyaan pesakit di wad. Keadaan ini didapati tidak menepati saranan PPF, KKM untuk menjayakan program POMs.

3. Tindakan Penyelesaian dan Pembuktian

Kit ini digunakan untuk menyimpan ubat kepunyaan pesakit di wad bagi memudahcara pemberian ubat oleh jururawat. Kit dilabel dengan maklumat pesakit dan ubat disaring dan dinilai sebelum disusun mengikut slot pembahagi frekuensi dos. Isu berkaitan ubat pesakit dicatat pada ruang Patient’s Medication Issues supaya dapat dimaklumkan kepada pesakit semasa bedside dispensing/discharge counselling. Penambahbaikan proses kerja pembekalan ubat POMs ke wad dan notifikasi POMs pada preskripsi juga dilaksanakan.

4. Keberhasilan Projek: Outcome Projek dan Pembuktian

Projek ini menjimatkan masa pembekalan ubat ke wad dalam tempoh maksima 4 jam semasa waktu pejabat dan masa pemberian ubat oleh jururawat kerana ketersediaan ubat pesakit. Projek ini mengurangkan kos pembekalan ubat kepada pesakit dengan mengoptimakan penggunaan ubat kepunyaan pesakit di wad. Anggaran penjimatan kos pembekalan ubat adalah RM 12,308.85 dan bayaran kerja lebih masa untuk kerja prabungkus ubat sebanyak RM 43,200 setahun. Bilangan ubat diprabungkus menurun sebanyak 36.3%. Oleh itu, anggota yang menjalankan kerja prabungkus ditempatkan di Farmasi kecemasan selepas waktu pejabat sebagai anggota tambahan. Bilangan kaunseling ubat meningkat sebanyak 50.7%. Isu-isu penggunaan dan penyimpanan ubat pesakit dapat dikenal pasti seterusnya mengurangkan risiko kesilapan pengubatan. Kit ini membolehkan ubat pesakit disusun dengan lebih teratur manakala penambahbaikan proses kerja dapat memudahkan proses pemberian ubat oleh jururawat. Bilangan pesakit yang menyertai program POMs meningkat.

5. Keberhasilan Projek: Impak Projek dan Pembuktian

Penggunaan ubat sendiri di wad dapat mengurangkan lebihan ubat pesakit di rumah seterusnya mengurangkan pelupusan ubat yang tidak mengikut garis panduan lalu mengelakkan pencemaran alam sekitar. Ubat-ubatan yang dibawa oleh pesakit akan disaring bagi memastikan penggunaan ubat yang berkualiti dan meningkatkan keselamatan pengubatan. Selain itu, ia dapat memakmurkan ekonomi melalui pengurangan kos pengubatan dan hospitalisasi pesakit dan seterusnya dapat memperkasakan perkhidmatan farmasi KKM.

6. Potensi Pengembangan Projek

Kit ini diperbuat daripada bahan yang senang diperolehi dengan kos yang rendah dan mudah dikendalikan tanpa memerlukan apa-apa kepakaran. Ia juga boleh digunakan untuk menyimpan ubat pesakit di rumah dan berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya ke hospital – hospital di bawah kementerian lain seperti hospital universiti atau hospital angkatan tentera serta boleh dikomersialkan dan dipasarkan di kedai-kedai farmasi.