1. Latar belakang projek dan Penglibatan Pihak Pengurusan

i-Cap dihasilkan kerana keperluan untuk menutup semula (recapping) jarum di dalam amalan farmasi nuklear. Masalah kesihatan daripada tumpahan dan pencemaran radiasi boleh berlaku jika amalan ini tidak dilakukan. Terdapat garis panduan dan program latihan yang diterbitkan, namun “needle stick injury” (NSI) masih menjadi masalah yang berterusan. Oleh itu, pihak pengurusan memainkan peranan penting dalam menjayakan penggunaan i-Cap bagi mengurangkan bilangan NSI di wad, klinik, dan tempat-tempat lain dalam perkhidmatan kesihatan.

2. Signifikasi Pemilihan Projek dan Pembuktian

i-Cap dapat mengelakkan pencemaran radioaktif dan mengurangkan dedahan radiasi kepada pekerja. Ini selaras dengan Standard Keselamatan: Perlindungan Sinaran Pekerja, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang menyatakan berkenaan keperluan kawalan dedahan radiasi akibat pencemaran. i-Cap dapat mengurangkan risiko kecederaan suntikan jarum bukan sahaja di farmasi nuklear malah mana-mana institusi kesihatan. Pusat Kawalan Penyakit (CDC) menganggarkan bahawa kira-kira 385,000 kecederaan dengan jarum yang tercemar dan peranti tajam berlaku setiap tahun di kalangan kakitangan kesihatan (> 1,000 kecederaan sehari).

3. Tindakan Penyelesaian dan Pembuktian

Reka cipta i-Cap adalah berdasarkan konsep kitar semula menggunakan bahan daripada polisterina kotak pembungkusan, bekas pelindung plumbum bahan radioaktif, dan picagari. Polistirena tersebut dibentuk ke dalam bekas plumbum, kemudian satu lubang kecil dibuat menggunakan picagari bagi memuatkan penutup jarum.

4. Keberhasilan Projek: Outcome Projek & Pembuktian

Penjimatan masa ketika aktviti penyediaan radiofarmaseutikal telah dicapai kerana teknik penutupan jarum menggunakan i-Cap adalah lebih mudah. Penggunaan bekas pelindung berplumbum juga telah dapat mengurangkan dedahan radiasi yang berlebihan. Masa yang diperlukan untuk “recap” jarum berjaya dikurangkan daripada 10 saat kepada lebih kurang 1-2 saat sahaja oleh kerana pekerja tidak perlu bimbang dengan NSI. Sehingga kini, tiada kes NSI dilaporkan di farmasi nuklear mahupun Jabatan Perubatan Nuklear selepas penggunaan i-Cap.

5. Keberhasilan Projek: Impak Projek dan Pembuktian

Kos penghasilan sebuah i-Cap adalah RM 0.61, manakala anggaran harga produk komersial yang ada di pasaran adalah RM 183.30. Didapati i-Cap adalah 300 kali ganda lebih murah berbanding produk komersial dan mampu dimiliki oleh mana-mana institusi. Penyelarasan penggunaan i-Cap di semua institusi kesihatan juga dianggarkan dapat menjimatkan kos rawatan akibat NSI. Selain itu, kesan jangka masa panjang menggunakan konsep kitar semula akan membantu dalam pemeliharaan alam sekitar.

6. Potensi Pengembangan Projek

Projek i-Cap sesuai digunakan di pelbagai tempat yang melakukan penyediaan radiofarmaseutikal, contohnya Agensi Nuklear Malaysia di bawah MESTECC atau hospital swasta seperti Perubatan Nuklear, Sunway Medical Centre. Di samping itu, ia juga sesuai digunakan di mana-mana institusi yang mempunyai kejadian NSI yang tinggi.