1. Latar belakang projek dan Penglibatan Pihak Pengurusan

Keberkesanan rangkaian sejuk insulin selepas pembekalan kepada pesakit diragui oleh pihak preskriber di mana prescriber mendapati bahawa terdapat kekurangan dalam cara pengendalian dari pihak pesakit. Justeru itu, Insu-safe kit ini direka untuk menangani masalah ini.
Projek Insu-safe kit ini diluluskan oleh pihak pengurusan Pejabat Kesihatan Daerah Seremban dan dibentangkan kepada pihak pengurusan pada 5 September 2017 dan memperoleh kelulusan diseragam di seluruh daerah pada 29 Ogos 2017.

2. Signifikasi Pemilihan Projek dan Pembuktian Projek Insu-safe kit ini berkaitan dengan visi dan misi Program Perkhidmatan farmasi di mana ubat yang dibekalkan adalah berkualiti, selamat dan berkesan.

Selain itu, projek ini turut dapat memenuhi kehendak pesakit dan pihak prescriber dengan menjamin keberkesanan insulin dengan mengekalkan suhu optimum dalam perjalanan balik rumah. Projek ini turut selaras dengan Dasar Ubat Nasional (DUNAS) di mana ianya berkait rapat dengan komponen teras Kualiti, Keselamatan dan Keberkesanan ubat.

3. Tindakan Penyelesaian dan Pembuktian

Untuk pelaksanaan projek ini, bekas krim 500g yang terpakai digunakan semula. Bekas tersebut akan dibersihkan dan dibiarkan kering dahulu sebelum ditampal dibahagian dalamnya dengan Aluminium foil tape. Kemudian, botol yang berisipadu 30ml akan diisikan dengan air paip dan dibekukan dalam peti sejuk supaya boleh dijadikan sebagai pek ais. Pesakit akan diberikan bekas 500g yang dibersihkan dan diisikan dengan 2 pek ais bersama dengan “bubble- wrap” supaya insulin tidak terbeku akibat tersentuh secara langsung dengan pek.
Bekas yang berpek-ais ini telah diuji dengan thermometer digital dan didapati dapat mengekalkan suhu dalam julat 2-8°C selama 2 jam dan pengawalan suhu bekas itu tetap adalah sama apabila diletak dalam kereta.

4. Keberhasilan Projek : Outcome Projek dan Pembuktian

Projek ini dapat mengurangkan pembaziran insulin akibat penyimpanan yang tidak mencapai suhu optimum semasa dalam perjalanan mengambil ubat dari farmasi sehingga pulang ke rumah. Untuk tempoh 1 tahun projek ini dijalankan, sebanyak RM3155.00 dapat dijimatkan disebabkan oleh pengurangan pembekalan insulin kepada pesakit yang masih mempunyai baki insulin di rumah dan berkeyakinan bahawa rangkaian sejuk ubat insulin tidak terputus.
Pengekalan insulin pada suhu optimum akan menjamin efikasi atau potensi insulin. Selepas pembekalan Insu-safe kit, sebanyak 92% pesakit berpuas hati ataupun sangat puas hati dengan bekas ini. Sebanyak 72% pesakit bersetuju dengan idea untuk membawa bekas ini setiap kali datang ke klinik untuk mengambil ubat insulin.

5. Keberhasilan Projek : Impak Projek dan Pembuktian

Impak projek ini ialah memastikan tiada kekurangan keberkesanan ubat insulin yang dipakai oleh pesakit maka pihak preskriber dapat mengoptimasikan penggunaan insulin tanpa meragui keberkesanan ubat untuk memberi rawatan yang sewajarnya.

6. Potensi Pengembangan Projek

Projek ini dapat diperkembangkan kepada fasiliti-fasiliti kesihatan yang lain di mana kit dihasilkan menggunakan bekas aqueous cream yang terpakai yang sememangnya sedia ada di farmasi. Selain itu, bahan-bahan lain yang diperlukan juga senang didapati.