1. Latar Belakang Projek dan Penglibatan Pihak Pengurusan

Masa menunggu pesakit yang melebihi 30 minit untuk mengambil ubat sediaan ekstemporaneous di Farmasi Pesakit Luar, Hospital Kuala Krai. Masalah ini terjadi disebabkan oleh kesukaran staf farmasi untuk menghancurkan ubat bagi sediaan ekstemporaneous.

2. Signifikasi Pemilihan Projek dan Pembuktian

Tajuk projek ini dipilih kerana ia adalah berkaitan dengan misi dan visi Hospital Kuala Krai. Selain itu, ia dapat memenuhi Piagam Pelanggan Jabatan Farmasi, Piagam Pelanggan Teras Kementerian Kesihatan Malaysia dan saranan Menteri Kesihatan Malaysia. Di samping itu, ia juga adalah sejajar dengan agenda dan matlamat nasional negara seperti Wawasan 2020, Dasar Ubat Nasional 2006 dan Rancangan Malaysia ke-11.

3. Tindakan Penyelesaian dan Pembuktian

Kumpulan telah menggunakan kaedah Design Thinking untuk menyelesaikan masalah ini iaitu empati, takrifan, penjanaan idea, prototaip dan ujicuba. Melalui penjanaan idea kreatif, kumpulan telah mencipta satu inovasi iaitu alat pengisar ubat C-RUSH bagi memudahkan staf farmasi dalam proses penyediaan ubat ekstemporaneous.

4. Keberhasilan Projek : Outcome Projek dan Pembuktian

C-RUSH dapat mengurangkan purata masa menunggu pesakit untuk mengambil ubat sediaan ekstemporaneous sebanyak 25 minit. Masa penyediaan ekstemporaneous dapat dijimatkan sebanyak 5 jam sebulan seterusnya meningkatkan tahap produktiviti aktiviti farmasi yang lain seperti kaunseling, Pameran Ubat Berkualiti dan lain-lain. Selain itu, ia dapat mengelakkan pembaziran ubat rentetan daripada ubat pesakit yang tidak dituntut sebanyak RM 5594.40 setahun. Peratus preskripsi ubat sediaan ekstemporaneous yang didispen dalam masa 30 minit berjaya ditingkatkan sebanyak 79.3%. Hal ini telah meningkatkan tahap kepuasan hati pelanggan sebanyak 46.6%.

5. Keberhasilan Projek : Impak Projek dan Pembuktian

Projek ini telah meningkatkan tahap kepatuhan pesakit terhadap ubat sediaan ekstemporaneous. Selain itu, ia dapat memelihara kelestarian ekosistem dan alam sekitar hasil daripada tiada ubat yang perlu dilupuskan rentetan pesakit tidak mengambil ubat yang telah disediakan. Seterusnya, ia dapat meningkatkan imej Jabatan Farmasi dan melahirkan kakitangan farmasi yang lebih kreatif dan inovatif. Impak luar jangka ialah ia dapat menambah pendapatan juru kimpal dan menjana ekonomi setempat.

6. Potensi Pengembangan Projek

Alat ini telah diperakui selamat oleh Dr. Yelmizaitun Osman, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Keselamatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan. Ia boleh digunakan di Jabatan Farmasi lain di seluruh Malaysia. Seterusnya, ia juga boleh digunakan di wad-wad seperti Intensive Care Unit (ICU) dan Coronary Care Unit (CCU) di mana pesakit tidak boleh mengambil ubat secara oral. C-RUSH telah didaftarkan ke Perbadanan Harta Intelek Malaysia MYIPO (trade mark) untuk memelihara hak cipta Kumpulan S-MASH – Nombor aplikasi (TM2019000567).