Pemilihan Peluang Untuk Penambahbaikan

Senarai bongkar (SB) merupakan dokumen yang menyenaraikan semua rampasan yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa semasa serbuan. Kesilapan dalam penyediaan SB akan menjejaskan proses siasatan dan pendakwaan kes kerana ia merupakan keterangan dokumen primer. Sebanyak tiga insiden kesilapan dalam penulisan SB telah menyebabkan pertikaian oleh pihak pembela semasa perbicaraan kes. Rekod CPFPP menunjukkan sebanyak 37.8% kesilapan dalam penyediaan senarai bongkar semasa aktiviti serbuan pada tahun 2017.

Pengukuran Utama Penambahbaikan

Indikator adalah peratus kesilapan dalam penyediaan SB. Matlamat kajian adalah untuk menurunkan peratus kesilapan dari 37.8% ke 0% kesilapan dalam penyediaan SB pada masa akan datang. Sifar kesilapan adalah piawaian yang harus dicapai kerana tiada kompromi untuk berlaku kesilapan dalam SB.

Proses Pengumpulan Maklumat

Magnitud indikator projek ini diukur melalui semakan 100% SB yang disediakan pada tahun 2017. Satu kajian verifikasi secara retrospektif dengan persampelan universal (n=44) telah dijalankan pada hujung tahun 2017 untuk mengenalpasti faktor utama penyumbang kepada masalah yang dihadapi dengan menggunakan soal selidik. Pelaksanaan kaedah penambahbaik telah dijalankan sejak Januari 2018 manakala penilaian kesan penambahbaikan telah dilakukan dari Februari 2018 sehingga Februari 2019.

Analisa dan Interpretasi

Data sebelum langkah penambahbaikan menunjukkan terdapat kadar kesilapan penyediaan SB sebanyak 37.8% yang juga merupakan ABNA. Faktor penyumbang kepada masalah ini adalah tiada proses kerja yang terperinci sebagai rujukan pegawai (62%), kesilapan semasa penandaan barang rampasan (27%) dan kekeliruan atau kecuaian pegawai (11%).

Strategi Perubahan

Satu video EXHIVID dihasilkan sebagai panduan pegawai dalam penyediaan senarai bongkar yang lebih terperinci. RaidTag juga disediakan untuk mengurangkan kesilapan dalam penandaan barang rampasan.  Video EXHIVID dan RaidTag digunapakai sepenuhnya oleh semua pegawai. Sesi orientasi dan tagging juga diwujudkan bagi pegawai penguatkuasa farmasi baru.

Kesan Penambahbaikan

Peratus kesilapan dalam penyediaan SB semasa serbuan telah berjaya diturunkan dari 37.8% kepada 12.7% setelah langkah penambahbaikan diambil. Kesan penambahbaikan mendapati tiada lagi kes pendakwaan terjejas disebabkan oleh isu kesilapan SB.

Langkah Seterusnya

Kitaran kedua dicadangkan bagi menurunkan peratusan kesilapan penulisan SB dari 12.7% kepada 0% dengan mengadakan audit dalaman untuk memastikan pegawai dapat menyediakan SB yang berkualiti Selain itu, sesi CPD juga perlu diadakan secara berkala kepada pegawai yang sedia ada dan pegawai baru. Kami juga berharap dapat berkongsi langkah penambahbaikan ini kepada Cawangan Penguatkuasaan negeri lain.