Pemilihan peluang untuk penambahbaikan:
Iklan memainkan peranan yang penting dalam pemasaran sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah iklan ubat dan perkhidmatan kesihatan (MedSA).
Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia 2017 menunjukkan 80.1% daripada jumlah populasi rakyat Malaysia menggunakan internet sekaligus menjadikan internet medium pilihan pengiklanan dan pemasaran.
Pada tahun 2017, sebanyak 9,185 MedSA telah disaring di semua media oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di seluruh negara dan 50.1% daripadanya adalah iklan di internet. Dalam tempoh yang sama, CPF Johor menyaring 1084 MedSA di semua media dan hanya 3.24% daripadanya adalah dari internet.
Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM juga merekodkan sejumlah 667 aduan berkaitan penjualan dan pengiklanan ubat dimana, 384 aduan adalah dari sumber internet.

Pengukuran utama penambahbaikan:
Standard optimum bagi Peratus Saringan MedSA di Internet ditetapkan sebanyak 50% berpandukan pencapaian kebangsaan pada 2017.

Proses pengumpulan maklumat:
Kajian ini berbentuk hirisan lintang melibatkan kajian verifikasi yang dijalankan selama 2 minggu. Sebanyak dua kitaran strategi penambahbaikkan telah dijalankan melibatkan Kitaran 1 (1 Februari – 30 Julai 2018), dan Kitaran 2 (1 Ogos 2018 – 31 Januari 2019). Teknik persampelan adalah secara universal sampling yang melibatkan MedSA di internet untuk pasaran di negeri Johor. Saiz sampel kajian adalah 184.

Analisis dan interpretasi:
Semasa kajian verifikasi, peratus Saringan MedSA di internet adalah (3.24%, n=35, ABNA=46.76%). Faktor-faktor penyumbang kepada kurang kawalan iklan MedSA di internet berpunca daripada struktur kerja saringan iklan di internet yang tidak teratur (52%), tiada mekanisme pemantauan yang spesifik dari pegawai atasan (30%), peningkatan iklan di internet (10%) dan akta sedia ada yang lemah (8%).

Strategi penambahbaikan:
Pemerkasaan prosedur operasi standard kerja, penstrukturan semula carta alir bagi saringan MedSA di internet, penubuhan group Whatsapp, pewujudan senarai semak, pelantikan Pegawai Penyiasat Elit, First Responder Team serta peningkatan saringan ketika Operasi Pangea telah dijalankan.
Mekanisme pemantauan oleh pegawai atasan telah diwujudkan dengan mengeluarkan Jadual Tugasan Saringan, menetapkan sasaran saringan MedSA di internet, mitigasi Daftar Saringan Dan Tindakan Iklan kepada bentuk digital serta penggunaan sistem eDPF. Latihan juga diberikan kepada Pegawai Penguatkuasa Farmasi
Aktiviti seranta secara berterusan kepada peniaga dan pengguna dilaksanakan dan aplikasi inovasi “KUAT” turut digunakan supaya peningkatan MedSA di internet yang menyalahi undang-undang boleh dikurangkan

Kesan penambahbaikan:
Strategi ini berjaya meningkatkan kawalan MedSA di internet dengan peningkatan Peratus Saringan MedSA di Internet sebanyak 11.6%(n=81), [ABNA:38.4%] pada Kitaran 1 dan sebanyak 41.58% (n=210) [ABNA:8.42%] dalam Kitaran 2.
Daripada 291 MedSA yang disaring melalui internet, sejumlah 285 telah didapati melanggar akta dan telah diambil tindakan lanjut dimana 6 daripadanya disiasat untuk tujuan pendakwaan.

Langkah seterusnya:
Mekanisme ini berpotensi diperluaskan ke semua CPF negeri dan strategi-strategi masih diteruskan.