Pemilihan Peluang Untuk Penambahbaikan

Semasa rawatan Tibi, Pegawai Perubatan akan mempreskrib ubat kepada pesakit Tibi selama 6 bulan bagi memastikan pesakit bebas daripada kuman Tibi. Walaubagaimanapun, didapati hanya 12.1% pesakit Tibi yang mendapat kaunseling ubat yang berkesan oleh PF sebelum memulakan rawatan ubat Tibi di PKD Kuala Selangor. Kaunseling ubat Tibi yang berkesan oleh PF sangat penting kerana dapat meningkatkan tahap kefahaman pesakit terhadap penyakit dan rawatan Tibi seterusnya dapat mengurangkan peratus kadar terhenti rawatan, kerintangan ubat Tibi, penyebaran penyakit dan kematian.

Pengukuran Utama Penambahbaikan

Penanda aras ialah peratus pesakit Tibi (kes baru) yang diberi kaunseling oleh PF dibahagikan dengan jumlah pesakit Tibi (kes baru) yang berdaftar di PKD Kuala Selangor. Piawaian ditetapkan sebanyak 50% mengikut penetapan sasaran kaunseling Tibi oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF) Selangor.

Proses Pengumpulan Maklumat

Jenis kajian adalah pra dan pasca intervensi dengan teknik persampelan bertujuan. Semua pesakit Tibi dimasukkan sebagai saiz sampel sepanjang tempoh kajian dan sebanyak 3 kitaran telah dijalankan (April 2018-April 2019).Dua jenis BorangSoalSelidik telah digunakan bagi sampel yang memenuhi kriteria.

Analisis dan Interpretasi

Kajian pra-pemulihan menunjukkan peratus kaunseling ubat Tibi adalah 36.4% iaitu 4 pesakit. Antara punca masalah dikenalpasti adalah tiada PF yang menyelaras portfolio penyakit Tibi (25.9%), Pegawai Perubatan tidak merujuk pesakit ke farmasi (20.7%), tiada proses kerja yang jelas (17.2%) dan tiada kesedaran tentang peranan PF dalam kaunseling ubat Tibi (12.1%).

Strategi Penambahbaikan

Carta alir rawatan pesakit Tibi ditambahbaik dengan menambah peranan PF memberi kaunseling ubat Tibi. Senarai semak, slip rujukan dan alat bantu kaunseling turut diwujudkan. Kursus dan ceramah kaunseling ubat Tibi juga telah diadakan kepada semua PK dan pesakit. Kepentingan terhadap kesedaran bahaya Tibi diperluas kepada orang awam dengan adanya pertandingan poster di universiti awam serta pengedaran banting di setiap KK.

Kesan Penambahbaikan

Kajian pasca-pemulihan menunjukkan peningkatan peratus kaunseling pesakit Tibi daripada 58% (kitaran1) kepada 92.3% (kitaran2) dan seterusnya 100% (kitaran3).  Selain itu, direkodkan 100% kadar sukses rawatan bagi pesakit yang telah sempurna 6 bulan rawatan ubat Tibi.

Langkah Seterusnya

Audit secara berkala akan dijalankan untuk menilai semula hasil penambahbaikan. Kajian juga telah dibentang kepada Unit Tibi/Kusta dan Jawatankuasa Penjagaan Farmaseutikal dan Kualiti BPF Negeri Selangor untuk berkongsi dan mereplikasi strategi penambahbaikan ini ke fasiliti kesihatan yang lain khususnya di Selangor dan seterusnya ke seluruh Malaysia.