PEMILIHAN PELUANG UNTUK PENAMBAHBAIKAN
Bilangan kejadian anemia dikalangan ibu hamil pada 36 minggu tahun 2017 di Klinik Kesihatan Daerah Kota Bharu (KKDKB) adalah seramai 267 orang. Kepatuhan pengambilan zat besi pesakit antenatal adalah rendah iaitu 34%. Ketidakpatuhan mengancam kesihatan ibu dan bayi yang membawa kepada komplikasi dan kematian, menyebabkan kekerapan penukaran dos dan alternatif yang lebih mahal dan peningkatan kos akibat pembaziran.

PENGUKURAN UTAMA PENAMBAHBAIKAN
Indikator adalah bilangan pesakit antenatal yang dipreskrib zat besi yang patuh dimana pengukuran kepatuhan adalah sebanyak 80%. Kajian melibatkan semua ibu mengandung tanpa mengambil kira umur kandungan.

PROSES PENGUMPULAN MAKLUMAT
Kajian hirisan lintang menggunakan borang soal selidik di 3 buah KKDKB bermula April 2018 bagi pra pemulihan dengan bilangan sampel 239 orang. Langkah-langkah pemulihan dijalankan sepanjang Mei hingga Disember 2018. Kitaran Pertama pasca pemulihan sepanjang Ogos 2018 dengan sampel 211 orang diikuti Kitaran Kedua sepanjang Januari 2019 dengan sampel 192 orang.

ANALISIS DAN INTERPRETASI
Faktor penyebab yang dikenalpasti ialah kefahaman kepentingan zat besi yang rendah (31%), pengetahuan pemakanan yang kurang (32%), kesan sampingan zat besi (36%), sikap pesakit (37%) dan teknik penyampaian yang kurang berkesan oleh pegawai farmasi (47%).

STRATEGI PENAMBAHBAIKAN
Ceramah, penanda buku “All-In-1 Bookmark” dan Roda Poster diperkenalkan kepada pesakit bagi menangani faktor kesan sampingan dan pengetahuan yang rendah. Sikap pesakit yang kurang diatasi dengan label carta harian yang ditampal dibelakang sampul ubat. “Iron Counselling Checklist” digunakan pegawai farmasi bagi menyampaikan teknik kaunseling yang berkesan. “Hotline Mommy”, Infografik dan Replika Tablet Zat Besi dan pengenalan inovasi “Iron-ScanMe” yang ditampal dibelakang buku antenatal dipromosikan kepada staf dan pesakit bagi mengatasi faktor kefahaman dan pengetahuan pesakit terhadap zat besi.

KESAN PENAMBAHBAIKAN
Peratus kepatuhan meningkat daripada 34% kepada 71% selepas kitaran kedua. ABNA Berjaya dikurangkan sebanyak 37% selepas kitaran kedua dilaksanakan. Kefahaman terhadap kepentingan zat besi juga meningkat kepada 69%. Begitu juga pengetahuan pemakanan, kesan sampingan zat besi dan sikap pesakit juga telah meningkat kepada 68%, 64% dan 63%. Selain daripada itu teknik penyampaian juga meningkat kepada 53%. Peningkatan kepatuhan ini seterusnya meningkatkan peratus pesakit yang mencapai Hb normal daripada 24% kepada 61%.

LANGKAH SETERUSNYA
Memperkenalkan aplikasi E-Reminder iaitu masa pengambilan ubat di telefon pintar pesakit, memperkasa penggunaan Iron-ScanMe QR Code bagi kes baru antenatal,mengedarkan material inovasi secara menyeluruh di Fasiliti Kesihatan Negeri Kelantan dan menyumbang penulisan artikel dan poster di media social.